Hujan lebat serta angin kencang yang melanda ibu negara petang Jumaat menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan yang terjejas teruk dengan insiden itu, selain kejadian bumbung sekolah diterbangkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata antara kawasan terlibat ialah Bandar Manjalara, Bukit Kerinchi dan Pantai Dalam.

Hujan lebat kira-kira 4 petang menyebabkan beberapa kenderaan dihempap pokok.

"Antaranya di Jalan 1/2B berhampiran kawasan perumahan Villa Manja Bandar Manjalara, sebatang pokok menghempap kenderaan jenis Hyundai Veloster yang dipandu seorang lelaki yang menggunakan jalan itu. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

"Selain itu, angin kencang juga menyebabkan bumbung bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kampung Kerinchi di sini diterbangkan angin," katanya.

Beliau berkata pihak bomba telah menempatkan 11 pegawai dan anggota untuk bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan setakat ini, keadaan trafik di sekitar ibu negara masih terkawal.

Sementara itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menerusi laman sosial Facebook beliau turut berkongsi berhubung kejadian itu.

Fahmi berkata beliau telah memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar diambil tindakan segera.

"Sila berhati-hati. Hujan dan angin ribut tadi telah menyebabkan banyak pokok tumbang, termasuk di Blok E, PPR Kerinchi, depan LRT Universiti dan Blok 19 Taman Bukit Angkasa, serta telah terbangkan bumbung SMK Seri Pantai.

"Saya telah hubungi DBKL dan pasukan telah dikerahkan dengan segera. Harap berhati-hati, dan jika ada sebarang kejadian, sila hubungi DBKL atau Facebook saya," katanya.




-- BERNAMA