BAGI penggemar daging, 'sup torpedo' pasti tidak kedengaran asing lagi kepada mereka. Ia antara makanan yang mendapat permintaan ramai.

Malah, ketika musim korban, ada yang sanggup tunggu untuk mendapatkan bahagian itu.

Namun begitu, ada pandangan yang menyatakan ia tidak elok untuk dimakan kerana melibatkan bahagian anggota yang ‘tidak lalu’ untuk dimakan.

Maklum sahajalah, 'sup torpedo' yang dimaksudkan itu merupakan sup yang menggunakan anggota zakar lembu jantan sebagai bahan asasnya.

Dalam hal itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, bahagian zakar lembu termasuk sebagai antara yang halal dimakan, tetapi makruh hukumnya jika menjamahnya.

“Ini kerana ia termasuk dalam kategori anggota yang menjijikkan.

“Bagaimanapun, halal makan 'sup torpedo' berkenaan yang mana bahan asasnya adalah batang zakar lembu jantan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1917: Hukum Makan 'Sup Torpedo' dalam laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, bagi haiwan yang halal dimakan, maka keseluruhan bahagian anggota binatang tersebut halal untuk disantap.

Ia bertepatan dengan kaedah fiqh iaitu ‘Sesuatu yang mengikut itu mengambil hukum yang asal’.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa terdapat beberapa bahagian anggota haiwan yang statusnya halal, tetapi makruh untuk dimakan.

Ia sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Mujahid bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Baginda SAW tidak suka tujuh bahagian daripada kambing iaitu darah, pundi hempedu, zakar, dua testis, faraj betina, kelenjar dan pundi kencing.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

“Walaupun Imam al-Nawawi menilaikan hadis itu daif, tetapi beliau kemudian menukilkan pandangan daripada al-Khattabi yang menyatakan, darah adalah haram menurut ijma’ dan sebahagian anggota yang disebut disebutkan dalam riwayat ini (pundi hempedu, zakar, dua testis, faraj betina, kelenjar dan pundi kencing) adalah makruh.

“Tujuh bahagian anggota tersebut tidak disukai kerana ia dianggap jijik oleh cita rasa manusia yang normal.

“Sementara itu, makruh di sini membawa maksud makruh tahrim (sesuatu yang dianjurkan oleh syariat untuk meninggalkannya atau larangan syarak terhadap suatu perbuatan),” katanya. - Sinar Harian