Kerajaan Persekutuan, Sabah pantau projek infrastruktur utama secara bulanan - PM Anwar

Perdana Menteri bersalaman dengan barisan Kabinet baharu Sabah selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Sentuhan MADANI bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan, bersama Kerajaan Negeri Sabah akan memulakan pemantauan bulanan terhadap semua projek air, elektrik dan jalan raya di negeri itu bermula Januari tahun depan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan memulakan pemantauan bulanan terhadap projek air, elektrik, dan jalan raya di Sabah bermula Januari tahun depan untuk selesaikan isu asas tanpa kelewatan.
- Pendekatan baharu ini akan merangkumi projek di bawah kedua-dua kerajaan, termasuk pembaikan sekolah, infrastruktur kampung, Pan Borneo, dan kerja-kerja naik taraf kritikal lain.
- Perdana Menteri Anwar menegaskan keutamaan kerajaan dalam memastikan setiap komitmen pembangunan diterjemahkan melalui tindakan serta mengarahkan agar tiada lagi penangguhan dalam kelulusan projek Persekutuan di Sabah.
"Saya dah cadangkan pada Jawatankuasa di Jabatan Perdana Menteri, mulai Januari kita akan mulakan pemantauan projek bersama dengan kerajaan negeri. Mana-mana projek kerajaan negeri dan projek kerajaan Persekutuan kita tinjau kemajuannya, pantau setiap bulan," kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata sistem pemantauan bersama yang turut melibatkan pegawai daerah, agensi pembangunan negeri dan Persekutuan itu akan memastikan ratusan projek dirancang dapat dilaksanakan lebih pantas berbanding sebelum ini.
Beliau berkata keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap komitmen pembangunan tidak sekadar pengumuman, sebaliknya benar-benar diterjemahkan melalui tindakan.
Pada masa sama, Anwar turut mengarahkan agar tiada lagi penangguhan dalam kelulusan projek Persekutuan di negeri itu.
Sementara itu, Anwar berkata sepanjang dua hari di Sabah semasa pilihan raya negeri, beliau berpeluang meninjau sendiri keadaan di lapangan serta bertemu ramai tokoh tempatan yang membolehkan kerajaan memahami kekuatan pelbagai suku kaum dan menilai langkah bersesuaian bagi meningkatkan usaha pembangunan negeri.
Perdana Menteri berkata beliau memilih untuk hadir ke Sabah sejurus selepas pilihan raya bagi menepis persepsi bahawa ahli politik hanya berjanji semasa pilihan raya tetapi menjadi selesa setelah menang.
Anwar berkata kerajaan harus membuktikan kesungguhan sejak awal dengan segera turun padang dan melaksanakan amanah rakyat.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

