KUCHING: Mahkamah Persekutuan Kuching pada Selasa mengekalkan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh aktivis Bill Kayong pada Jun 2016 lalu.
 
Bill, seorang aktivis hak tanah adat Bumiputera di Sarawak, yang pada ketika kejadian merupakan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri.
 
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli menolak rayuan yang dikemukakan Mohamad Fitri Pauzi, menerusi dua peguamnya, Ranbir Singh dan Orlando Chua.
 

Hakim Nallini menegaskan mahkamah juga bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap sabitan kes dan hukuman ke atas tertuduh, manakala rayuan tersebut tidak mengandungi sebarang merit.

BACA: Pembunuh Bill Kayong ke tali gantung, seorang lagi masih bebas

BACA: Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong mati ditembak

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal kelab malam di Miri didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Miri pada tahun 2018 kerana membunuh  Bill Kayong dengan menembak mangsa di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah  pasar raya di Jalan Miri-Kuala Baram pada 21 Jun 2016.
 
Rayuan tertuduh juga ditolak di Mahkamah Rayuan pada 18 Februari 2020.
 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Abdul Latif dan Muhammad Fitri Azmi Masud.