Jemaah Menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata keputusan itu yang dicapai secara kolektif pada 10 Okt lepas turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Susulan daripada keputusan itu, memorandum Jemaah Menteri telah diedarkan kepada semua kementerian berkaitan untuk mendapatkan ulasan dan pandangan orang awam mengenai keputusan kerajaan itu," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat,hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang mahu kerajaan menyatakan pendirian untuk memansuhkan hukuman mati sama ada akan memberikan pengecualian kepada jenayah kejam.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan pula, Liew berkata Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka akan dibentang pada sidang Parlimen akan datang setelah semua isu dan dasar dimuktamadkan.

Beliau berkata mesyuarat susulan yang diadakan berkenaan penubuhan IPCMC telah bersetuju terhadap usul-usul yang dibentangkan bagi memastikan PCMC ini benar-benar bebas, efektif dan mempunyai kuasa untuk menangani masalah dalam agensi penguat kuasa tersebut.

"Kerangka penubuhan IPCMC ini mengambil kira kuasa-kuasa yang lebih holistik dan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan juga sedang berkuat kuasa," katanya menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya).

Liew berkata hak-hak polis juga terjamin seperti yang termaktub di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada September lepas, kerajaan mengumumkan untuk menubuhkan IPCMC bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).