MALAYSIA
Hun Manet seru Malaysia-Kemboja perkukuh sinergi pelancongan

King Sing mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Senat Hun Sen di Istana Senat di Phnom Penh. - Foto Senate of Cambodia
PHNOM PENH: Malaysia dan Kemboja merancang untuk mentransformasikan sektor pelancongan dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber masing-masing.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menyuarakan minat untuk memperkasa sektor yang menjadi pemangkin utama pendapatan kedua-dua negara itu.
Dalam pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing, Hun Manet menggesa kedua-dua pihak meneroka peluang baharu bagi memperluas kerjasama pelancongan antara Malaysia dan Kemboja, lapor agensi berita rasmi Agence Kampuchea Presse.
"Kedua-dua pihak (perlu) meneroka peluang kerjasama pelancongan di peringkat sub-nasional, seperti perkongsian antara bandar dan wilayah, serta memperkukuh lagi persefahaman dan pertukaran budaya," kata Hun Manet kepada menteri Malaysia itu dalam pertemuan di Peace Palace pada Khamis.King Sing mengetuai delegasinya ke Kemboja bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 kepada pasaran tempatan.
Mereka turut mengiktiraf kepentingan sektor pelancongan dalam merangsang pembangunan ekonomi dan keterhubungan serantau.
King Sing turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Senat Hun Sen di Istana Senat di Phnom Penh.
Hun Sen, yang juga bekas perdana menteri, menekankan keperluan untuk memperluas kerjasama antara Kemboja dan Malaysia dalam meneroka potensi sektor pelancongan yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau turut mencadangkan agar jumlah penerbangan terus antara kedua-dua negara ditingkatkan, terutamanya yang menghubungkan destinasi utama seperti Siem Reap dan Sihanoukville bagi merancakkan lagi industri pelancongan, menurut laporan media rasmi negara itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami