Jabatan Imigresen sedang dalam proses mewartakan i-kad sebagai pengenalan diri pelajar asing yang sah di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata dengan pewartaan ini, i-kad pelajar asing boleh digunakan sebagai pengenalan diri selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya ia bagi membolehkan i-kad berperanan sebagai pengganti kepada pengenalan diri menggunakan pasport.

"Penggunaan i-kad adalah sebagai pengenalan diri pelajar asing, tetapi bukan sebagai ganti pengenalan diri yang mutlak kepada pasport," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga mahu semua agensi penguat kuasa undang-undang menerima i-kad pelajar asing ini sebagai kad yang sah sebagai pengganti kepada pasport.

Mustafar berkata Jabatan Imigresen sedang memuktamadkan format i-kad untuk dimasukkan sebagai sebahagian kepada draf Peraturan-Peraturan Imigresen (Pindaan 2017) melalui Bahagian Hal-Ehwal Imigresen KDN.

"i-kad untuk pelajar asing ini akan diperkenalkan dengan format baharu dan ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan bagi mengelakkan pemalsuan dan salahguna kad ini," katanya.

Menurutnya i-kad format baharu itu akan dilengkapkan dengan cip biometrik versi baharu dan nombor pengenalan diri kekal agar diiktiraf oleh semua agensi penguatkuasaan.

-- BERNAMA