KUALA LUMPUR : Golongan suami kini boleh memindahkan 2 peratus caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka kepada ke dalam akaun isteri dengan pengenalan inisiatif i-Sayang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kemudahan i-Sayang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk memperluas jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan.

Ia juga bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial yang formal, untuk menabung demi masa depan persaraan mereka.

“Dengan membolehkan suami untuk mencarum secara sukarela sebanyak 2 peratus caruman bulanan, mereka memberikan peluang kepada isteri mereka untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang di samping mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti, sepertimana yang dinikmati oleh ahli KWSP,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, inisiatif itu dijayakan dengan usahama dengan usahasama bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),

Lebih kurang 2.4 juta suri rumah di negara ini tidak bekerja atau berada di luar sektor tenaga buruh, seterusnya tidak mempunyai sebarang bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih rentan terhadap kesulitan dan kejutan kewangan.

Mengulas lanjut Amir Hamzah berkata, inisiatif ini selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasa hak dan menjaga kebajikan wanita serta menerapkan nilai kekeluargaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang berteraskan ciri-ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Permohonan i-Sayang boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli), Self-Service Terminal (SST) KWSP, atau di mana-mana cawangan seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.