Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-12.

Kata Ibrahim, beliau akan bertanding sekali lagi kerana dirinya sudah sebati dengan penduduk di Pasir Mas.

"Atas tiket apa saya akan bertanding itu tunggulah hari penamaan calon atau sebelum hari itu. Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, tunggulah saya akan umumkan," katanya seperti dipetik oleh Bernama.

Ibrahim membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di Kota Bharu pada Rabu.





Beliau berkata sekiranya terpilih bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), sudah tentu ia merupakan satu penghormatan besar buat dirinya yang mahu terus berbakti kepada pengundi Pasir Mas.

Jelas Ibrahim, beliau telah membuat persiapan untuk terus menabur bakti kepada warga Pasir Mas yang menurutnya mahu beliau terus mewakili mereka.

Sehubungan itu, beliau akan 'bercuti' daripada menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden Perkasa sehingga tamat PRU-13, dan tugas itu akan dipangku timbalannya, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS menang kerusi Parlimen Pasir Mas mengalahkan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad dengan majoriti 8,991 undi.

Ibrahim pertama kali jadi Ahli Parlimen selepas menang pilihan raya umum 1986 sebagai calon BN. Beliau kemudian menyertai Semangat 46 selepas UMNO diharamkan oleh mahkamah pada 1988. Parti yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah itu membentuk gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam pilihan raya umum 1990 dan mengalahkan BN di Kelantan.

Dalam pilihan raya umum 1999, Ibrahim kalah di kerusi yang sama atas tiket Semangat 46 sebelum bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya 2004 dan kalah dalam pertandingan tiga penjuru bersama UMNO dan Pas.