MALAYSIA
Ibu Allahyarham Syamsul Haris mohon perintah kubur anak digali semula

Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris menuntut kubur anaknya digali semula bagi melakukan bedah siasat kali kedua. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya untuk menjalankan bedah siasat kedua.
Ringkasan AI
- Ummu Haiman Bee, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris, memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menggali semula kubur anaknya bagi menjalankan bedah siasat kedua oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur.
- Permohonan turut meminta siasatan diambil alih oleh pasukan baharu dari Bukit Aman dan inkues dijalankan oleh Peguam Negara, atas dakwaan terdapat kecederaan mencurigakan yang menunjukkan kemungkinan unsur jenayah.
- Bedah siasat pertama didakwa tidak dilakukan oleh pakar forensik, dan keluarga tidak dibenarkan melihat keseluruhan jasad, sementara Menteri Pertahanan sebelum ini menyatakan tiada unsur penderaan dalam kematian Syamsul Haris.
Peguam Datuk Naran Singh, yang mewakili Ummu Haiman Bee ketika dihubungi hari ini mengesahkan pemfailan notis usul berkenaan.
Ummu Haiman Bee memohon perintah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan pihak-pihak berkaitan bagi mengarahkan untuk menggali keluar semula jasad Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.
Dia juga memohon perintah mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas siasatan daripada pegawai siasatan yang terkini dan menjalankan siasatan kes kematian si mati seperti mana yang dilakukan dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Turut dimohon perintah yang mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu inkues bagi menyiasat punca kematian Syamsul Haris dan lain-lain perintah atau relif yang mahkamah anggap sesuai dan adil bagi tindakan itu.
Permohonan itu difailkan atas alasan bahawa bedah siasat pertama tidak dilakukan oleh pakar forensik hospital, tetapi hanya dilakukan oleh Dr George Sixtus Fernandez Jr yang merupakan pegawai perubatan Gred UD10.
Pemohon mendakwa terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris apabila menerima pelbagai percanggahan pada alasan atau punca kematian anaknya selain mendakwa dia dan keluarga tidak dapat melihat keseluruhan jasad si mati semasa pemohon berada di Jabatan Forensik dan semasa jasad dimandikan dan dikafankan.
Menurut pemohon, jasad si mati juga telah dibawa keluar di dalam keranda yang tertutup dan apabila meminta agar penutup keranda dibuka, hanya bahagian muka sahaja yang dibuka dan ditunjukkan kepada pemohon.
Dalam afidavit sokongan, Ummu Haiman Bee berkata anaknya telah mengikuti satu latihan menembak pada 27 Julai lepas ketika kursus latihan PALAPES di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor sebelum menerima panggilan daripada seorang pensyarah di UTM pada 4.33 petang, keesokannya yang memaklumkan anaknya telah meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor.
Menurut pemohon, dia telah pergi ke hospital berkenaan pada 4 pagi, 29 Julai untuk melihat jenazah anaknya dan terdapat kesan-kesan lebam dan kecederaan pada jasad anak lelakinya itu terutama di leher, dada yang berdarah, muka dan mata kanan dengan kesan lebam hitam.
"Saya percaya kesan-kesan kecederaan di bahagian dada dan mata kanan jelas dilakukan dengan pukulan objek-objek tumpul. Saya juga percaya darah yang mengalir dari hidung anak yang tidak berhenti sehingga jasadnya ditanam jelas menunjukkan bahawa anak saya telah dipukul dan mengalami kecederaan di bahagian otak dan dada.
"Saya sesungguhnya mengatakan bahawa gambar-gambar kecederaan pada anak saya jelas menunjukkan kecederaan itu diakibatkan oleh objek tumpul," katanya.
Pada 13 Ogos lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata Jawatankuasa Siasatan mendapati tiada unsur penderaan terhadap Syamsul Haris, yang meninggal dunia ketika mengikuti latihan di PULADA, Ulu Tiram pada 28 Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami