KUALA LUMPUR: Sejak pelaksanaannya pada 3 Feb lepas, program pemvaksinan COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau PICKids, dilihat masih "bertatih" dengan kebanyakan ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak mereka di bawah program itu.
Menjengah ke laman sosial khususnya Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), rata-rata ibu bapa yang meninggalkan komen memberi alasan tidak mahu anak mereka diperlakukan seperti "tikus makmal" selain berpandangan si anak masih terlalu kecil untuk menerima vaksin "sekuat" itu.
Sikap sedemikian boleh menjejaskan matlamat kerajaan untuk memastikan 80 peratus daripada kanak-kanak yang disasarkan menerima dos pertama dalam tempoh setahun dan 60 peratus lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan.
Mengulas permasalahan itu, kebanyakan pakar kesihatan berpendapat ibu bapa yang berkenaan menyempitkan tumpuan mereka kepada vaksin dan gagal melihat keseluruhan isu jangkitan SARS-CoV-2 yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19.
PERJUDI NYAWA ANAK
Bercakap kepada Bernama, Pakar Perunding Klinikal Imunologi Klinikal dan Alergi Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata fahaman ibu bapa bahawa antibodi anak sekecil itu masih kuat sebenarnya mengundang risiko si anak mendapat jangkitan COVID-19 yang serius berbanding kesan advers vaksinasi.
"Berdasarkan data sejarah vaksin sedia ada, kebanyakan kesan buruk vaksin berlaku dalam tempoh enam minggu pertama selepas suntikan dan kesan jangka panjang yang negatif selalunya tiada.
"Dua dos vaksin COVID-19 lengkap boleh menjana tindak balas imun yang kuat kepada kumpulan kanak-kanak terbabit dan mampu mencegah kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19," jelasnya.
Malah kata beliau pengambilan vaksin juga akan melindungi kanak-kanak daripada sindrom multisistem radang pada kanak-kanak atau MIS-C, iaitu komplikasi COVID-19.
MIS-C ini jarang berlaku, namun jika berlaku ia membawa akibat yang sangat serius dan boleh membawa kematian, jelas Dr Intan Hakimah.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata sejak Januari lepas, terdapat 9,413 kes COVID-19 membabitkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun direkodkan di negara ini.
"Walaupun jumlah ini tidak banyak berbanding orang dewasa, kanak-kanak yang dijangkiti berisiko mendapat MIS-C serta Long COVID yang kita tidak tahu kesan sebenar," kata Khairy yang dipetik oleh laporan media itu.
UTAMAKAN KERISAUAN JANGKITAN VIRUS
Sementara itu, pakar virologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata ibu bapa sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk bimbang tentang keselamatan vaksin tersebut yang telah melepasi fasa ujian.
Katanya kesan yang berlaku selepas pengambilan vaksin adalah perkara normal yang secara tidak langsung menunjukkan tubuh penerima memberi tindak balas terhadap vaksin.
"Apa yang perlu dirisaukan adalah kesan teruk apabila berlaku jangkitan (COVID-19) yang sebenar kerana apabila keadaan itu berlaku ia lebih sukar ditangani.
"Dua dos vaksin ini cukup untuk kurangkan risiko kanak-kanak (dijangkiti COVID-19) dan respons imun ini juga boleh menangani varian Omicron yang sekali gus mengurangkan kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 kepada kanak-kanak,'' katanya yang menyarankan pihak berwajib memberi pencerahan sebaik mungkin bagi menangani kekhuatiran ibu bapa tentang vaksin.
Beliau turut menyarankan ibu bapa yang masih berbolak-balik tentang pemvaksinan anak mereka agar memahami maklumat kandungan vaksin serta kesan sampingan yang mungkin terjadi dalam aplikasi MySejahtera.
Menerusi PICKids, kanak-kanak akan diberikan dua dos vaksin Cominarty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection keluaran Pfizer-BioNTech dengan dos kedua diberikan selepas lapan minggu disuntik dos pertama.
COMIRNATY SELAMAT UNTUK KANAK-KANAK
Sementara itu, Dr Adli Ali pula berkata vaksin keluaran Pfizer-BioNTech itu selamat dan berkesan untuk kanak-kanak.
Menurut Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu, laporan The New England Journal of Medicine menerusi artikel bertajuk 'Evaluation of the 'BNT162b2 COVID-19 Vaccine in Children 5 to 11 years of Age' menunjukkan vaksin tersebut berupaya menghasilkan imuniti yang mencukupi bagi melawan jangkitan SARS-CoV-2.
"Kajian ini menunjukkan vaksin Pfizer 10 mcg yang diberikan dengan jarak 21 hari di antara dua dos adalah selamat.
"Pemberian vaksin ini juga berfungsi secara serampang tiga mata, iaitu selain mencegah daripada mendapat jangkitan (COVID-19), individu yang mendapat jangkitan juga hanya mengalami gejala ringan dan secara tidak langsung mengurangkan kadar jangkitan kepada individu lain," katanya
VAKSIN ADALAH IKHTIAR
Sementara itu, Balkish Awang, 40, berpandangan pengambilan vaksin tersebut adalah ikhtiar untuk melindungi anaknya daripada virus maut berkenaan.
"Memang ada kerisauan namun bagi saya ini adalah ikhtiar untuk melindungi mereka," katanya, menambah dua anaknya yang berusia 11 dan sembilan tahun telah menerima dos pertama masing-masing pada 5 Feb lepas.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kedua-dua anaknya juga tidak menunjukkan kesan sampingan yang teruk.
Sementara itu, bagi penerima cilik Haziq Danial Shahrul Azlan, 11, dia kini berasa lebih selamat untuk ke sekolah dan juga bermain dengan rakan.
"Walaupun ada rakan yang belum daftar (untuk ambil vaksin), saya tidak takut untuk disuntik vaksin. Malah tak sakit pun ketika disuntik," katanya, menambah dia juga tidak mengalami demam dan lain-lain kesan sampingan.
Haziq Danial dan adiknya Rania Zara, sembilan, menerima dos pertama masing-masing di Dewan Orang Ramai Ampang Mewah pada 5 Feb lepas.
Setakat 9 Feb lalu, seramai 62,809 orang atau 1.7 peratus daripada kanak-kanak yang layak telah menerima dos pertama mereka, sementara pendaftaran pula mencecah 670,000 orang.
Dalam pada itu, sekalipun kerajaan memberikan komitmen yang tinggi untuk melindungi rakyat pelbagai peringkat usia daripada dijangkiti COVID-19, pelaksanaan PICKids adalah secara sukarela dan tidak ada sekatan akan dikenakan terhadap kanak-kanak yang tidak menyertai program pemvaksinan tersebut.
--BERNAMA
INTERAKTIF: Apakah yang perlu anda lakukan jika anda mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti COVID-19?
Bernama
Fri Feb 11 2022

Pengambilan vaksin tersebut adalah ikhtiar untuk melindungi anak daripada virus maut berkenaan. - Gambar hiasan
Pemain warisan juga rakyat Malaysia, wajar disokong
Syarat ditetapkan adalah salah seorang ibu bapa pemain terbabit perlu memiliki kerakyatan Malaysia.
pelancongan Islam, seni dan industri halal jadi taruhan
Pengerusi MATA Datuk Khalid Harun menjangkakan 45 ribu pengunjung akan hadir ke penganjuran Witex dan Wcaf 2025 pada Ogos tidak lama lagi.
Azalina cadang pertimbang umur dinaikkan kepada 65 tahun
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.
Ugut rakan sebar video bogel, 2 remaja ditahan polis
indakan dua remaja lelaki memeras ugut seorang kenalan mereka dengan menggunakan video bogel mangsa akhirnya memakan diri apabila mereka diberkas polis di sebuah pusat beli-belah di Ampang, Ahad lalu.
6 individu termasuk 2 Datuk direman, terima rasuah kontrak
Enam individu termasuk dua penjawat awam bergelar Datuk yang memegang jawatan sebagai pengarah serta seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan di ibu negara ditahan reman antara tiga hingga lima hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek pembangunan dan penyelenggaraan sejak empat tahun lalu.
Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia
Seorang lagi jemaah haji meninggal dunia di Makkah pada Selasa akibat serangan jantung.
Ini adalah kematian ketiga melibatkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci selepas Allahyarhamah Norizah Tambonan, 47, dan Abdullah Mat yang juga meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ini adalah kematian ketiga melibatkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci selepas Allahyarhamah Norizah Tambonan, 47, dan Abdullah Mat yang juga meninggal dunia akibat serangan jantung.

Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 20 Mei 2025.

Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.

DBKL nafi penggodam tuntut RM236.17 juta
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan sistem perkhidmatan dalam taliannya digodam serta penggodam menuntut wang tebusan USD55 juta (RM236.17 juta) berikutan gangguan itu.

Bekas TYT Sabah, Tun Ahmadshah meninggal dunia
Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.

Kes COVID-19 di Thailand berganda, Bangkok catat lebih 6,000 jangkitan
Kes COVID-19 di Thailand meningkat kepada 33,030 minggu lalu, dengan lebih 6,000 kes dilaporkan di Bangkok.

Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.

Perhimpunan tahunan WHO bermula, perjanjian pandemik jadi tumpuan
Perjanjian itu dirangka dalam tempoh singkat susulan pengajaran yang diperoleh daripada pandemik COVID-19.

Kes COVID-19 di Selangor terkawal, catat penurunan - Exco
Situasi jangkitan COVID-19 di Selangor dalam keadaan terkawal berdasarkan laporan terkini dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 2025.

Filipina 'aktif memantau' peningkatan kes COVID-19 di Asia Tenggara
Sehingga 3 Mei 2025, DOH melaporkan penurunan sebanyak 87 peratus dalam kes dan kematian berbanding 2024 di Filipina.

Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 17 Mei 2025.

Kes COVID-19 terkawal, KKM terus pantau rapi
Sejumlah 11,727 kes direkodkan dari ME1 hingga ME19 tahun ini, dengan trend penurunan berterusan sejak awal tahun.

Gaji graduan: Calon temuduga perlu buktikan nilai diri, jangan tuding pihak lain - Belia
Calon temu duga perlu membuktikan nilai yang boleh ditawarkan kepada bakal majikan, dalam rundingan mengenai gaji.

Trump kritik Tim Cook kerana tingkatkan pengeluaran Apple di India
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, supaya memindahkan lebih banyak pengeluaran ke AS.