MALAYSIA
Ibu lima anak tipu tambah nilai TnG cuba larikan diri, tendang anggota polis wanita

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam. Gambar kecil: Kama Azural. - Foto Sinar Harian
PASIR MAS: Seorang ibu lima anak bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas selepas ditahan polis berhubung kes penipuan tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) pada Ahad.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, suspek yang berusia 36 tahun dan berada dalam lokap tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dipercayai berpura-pura pengsan akibat gastrik sebelum dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan, diiringi seorang anggota polis wanita.
Turut serta semasa mengiringi suspek ialah empat anggota lelaki yang menaiki sebuah kereta secara berasingan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek bertindak menendang anggota pengiring di bahagian betis kanan beberapa kali sebaik tiba di hospital dalam cubaan melepaskan diri.“Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota wanita terbabit sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada anggota itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, suspek sebelum itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Pasir Mas berhubung kes penipuan tambah nilai TnG yang berlaku pada 21 Oktober tahun lepas di sebuah stesen minyak di Kampung Gaung, Pasir Mas.
Kejadian berlaku apabila suspek bersama anak perempuannya yang berusia 13 tahun mendekati kaunter untuk membeli barangan dan tambah nilai TnG bernilai RM200, namun kemudian tidak dapat membayar kerana mendakwa kad debitnya tidak mempunyai kemudahan pengeluaran wang tunai di mesin bank lain.
“Suspek berpura-pura membatalkan pembelian dan memulangkan resit pin tambah nilai kepada pengadu, tetapi selepas beredar pin tersebut didapati telah ditebus.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati anak suspek mengambil gambar nombor pin pada resit tersebut dan digunakan oleh suspek,” katanya.
Ujar beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek direman di Mahkamah Pasir Mas selama tiga hari bermula Isnin.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam ketika menjalankan tugas. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami