PASIR MAS: Dua maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan sebuah kereta dalam kejadian berdekatan Kampung Gertak Anak Buaya, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.

Mangsa yang meninggal dunia ialah ibu tunggal, Nurul Suhaila Mohamad Othman, 23, dan seorang lagi pemandu bas terbabit.

Ibu kepada Allahyarham Nurul Suhaila, Norma Mat Noor, 61, berkata, dia menerima panggilan kira-kira jam 7 pagi daripada salah seorang anaknya yang memaklumkan mengenai kemalangan itu.

Menurutnya, sebaik tiba di Hospital Pasir Mas, dia tidak menyangka anaknya meninggal dunia dan diuruskan di Unit Forensik hospital berkenaan.

Norma berkata, kali terakhir dia menghubungi Nurul Suhaila pada jam 8 malam tadi (Jumaat) untuk bertanya khabar.

"Pada jam 10 malam, saya menghubunginya untuk kali kedua kerana sebelum ini dia ada memaklumkan tidak sihat," katanya.

Menurut Norma, anak bongsu daripada lapan beradik itu ada menghubunginya beberapa hari lalu untuk memaklumkan perkara itu.

"Kami jarang bertemu kerana dia menguruskan kedai makan di Pasir Mas sementara saya tinggal di Kota Bharu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas di sini.

Jelas Norma lagi, dia kini mengambil tanggungjawab menjaga anak lelaki Nurul Suhaila yang berusia empat tahun.

Sementara itu, ibu angkat Nurul Suhaila, Faridah Hashim, 50, berkata, anak angkatnya seorang yang ceria dan rajin bekerja.

Jelasnya, Nurul Suhaila juga mempunyai ramai kawan dan menyenanginya.

"Kali terakhir kami bertemu beberapa hari lalu dan sempat bersalam dan berpeluk kerana sudah lama tidak bertemu," katanya.

Jenazah Nurul Suhaila dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar Jenerih, Salor, Kota Bharu selepas selesai semua urusan di unit forensik.

Media sebelum ini melaporkan, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.50 pagi itu mengakibatkan pemandu bas ekspres yang belum dikenal pasti identitinya serta penumpang depan kereta jenis Honda Accord, Nurul Suhaila Mohamad Othman, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kota Bharu untuk menghantar penumpang ke Rantau Panjang manakala kereta terbabit berada di laluan bertentangan.

Ketika kejadian itu juga terdapat lima penumpang di dalam bas ekspres itu dan kesemua mereka selamat.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian