SEREMBAN: Selepas terpaksa melahirkan anak dan membesarkannya di dalam penjara sehingga usia 17 bulan, seorang suri rumah yang didakwa mengedar dadah dua tahun lalu akhirnya dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datin Rohani Ismail membuat keputusan itu terhadap R Devaki, 34, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Beliau berkata, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa tertuduh tidak mempunyai pemilikan dan pengetahuan terhadap dadah yang ditemui.

"Oleh demikian tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri," katanya.

Malah beliau turut menasihatkan tertuduh supaya menjaga diri dan berhati-hati dalam soal berkawan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 4 Ogos 2021 jam lebih kurang 7.30 malam, di Bandar Dataran Segar, Port Dickson, didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 237.86 gram.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Sepanjang prosiding kes itu yang bermula 17 April lepas, seramai lapan orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Maleha Syed Hussin manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Wan Emyra Ismail.

Sementara itu, Haresh ketika ditemui pemberita berkata, tertuduh hamil lima bulan semasa ditangkap pada 4 Ogos 2021 dan melahirkan seorang anak lelaki di Penjara Sungai Udang, Melaka.

"Anak guam saya telah besarkan anaknya itu di dalam penjara semenjak bulan Disember 2021 dan kini usianya sudah 17 bulan," katanya.

Sementara itu, Devaki pula melahirkan rasa syukur dan lega apabila kes berkenaan telah selesai dan akan menerima nasihat hakim untuk lebih berhati-hati memilih kawan. -- Sinar Harian