BUTTERWORTH: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas 29 pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM350,000.

Tertuduh, M Vijairani, 44 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai Eksekutif Pentadbiran di sebuah syarikat kawalan keselamatan telah secara curang melakukan pecah amanah wang keseluruhan berjumlah lebih RM350,000

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah syarikat kawalan keselamatan di Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih Perai pada 20 April 2021 hingga 25 Mei 2023.

Tertuduh yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun sehingga 14 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam G Shanmugam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan yang keseluruhannya berjumlah RM87,000 dengan dua penjamin.

Hakim turut menetapkan penjamin mempunyai pendapatan RM5,000 sebulan ke atas.

Selain itu, tertuduh juga diminta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 24 Januari depan untuk serahan dokumen.