AYER KEROH:Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas 19 pertuduhan menyamar sebagai ejen insurans, salah guna cek dan memalsukan tandatangan membabitkan nilai kerugian lebih RM700,000, tujuh tahun lalu.

Loo Mei Lin, 48, yang juga pengerusi sebuah syarikat pembinaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdayakan seorang wanita berusia 54 tahun dengan menyamar sebagai ejen insurans yang berdaftar supaya mangsa membeli 16 polisi sehingga menyebabkannya mengalami kerugian RM626,40.98.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan selain boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa di atas dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyalahgunakan cek bank milik mangsa sama berjumlah RM93,500.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan keempat sehingga 19, tertuduh didakwa memalsukan tandatangan milik seorang penama lain berusia 27 tahun pada borang permohonan insurans hayat.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara November 2013 sehingga Julai 2015 dengan nilai keseluruhan kerugian berjumlah RM719,902.98.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad dan Mazuin Hashim menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira jumlah kerugian ditanggung mangsa adalah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kesemua 19 pertuduhan dan menetapkan 20 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Nizam Bashir, Linda Phua dan Rajsurian Pillai.