Kerajaan masih belum melakukan perbincangan di peringkat Kabinet mengenai pendirian Malaysia untuk meratifikasikan Konven­syen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan perkara berkenaan bagaimanapun akan tetap dibincangkan.

“Kita belum lagi berbincang secara terperinci dalam Kabinet. Memang kita akan bincangkan,” katanya kepada media selepas Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas sempena Hari Kanak-Kanak, Hari OKU dan Hari Warga Emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah mengulas mengenai Himpunan Bantah ICERD yang diadakan pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited mengesahkan enamtriti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, kenyataan itu menimbulkan keresahan beberapa pihak antaranya dalam isu kemungkinan terhakisnya hak istimewa orang Melayu.

Namun, Rabu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan rundingan semua kaum akan dilakukan sebelum Malaysia meratifikasi ICERD.