MALAYSIA
ICQS Bukit Kayu Hitam sesak berikutan limpahan kenderaan sempena cuti sekolah

Kesesakan yang bermula sejak semalam itu dijangka berterusan sehingga 21 Sept ini. - Gambar hiasan/Bernama
ALOR SETAR: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mengalami kesesakan luar biasa berpunca daripada limpahan kenderaan yang menuju ke negara jiran sempena cuti sekolah dan musim cuti yang panjang.
Ringkasan AI
- Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam alami kesesakan luar biasa akibat peningkatan kenderaan menuju ke Thailand sempena cuti sekolah dan Hari Malaysia.
- Lebih 21,000 individu direkodkan keluar masuk semalam, dengan majoriti keluar ke Thailand; AKPS mengaktifkan Pasukan Tindak Balas Pantas dan menambah pegawai bertugas untuk kawalan trafik.
- Pengembara dinasihatkan rancang perjalanan lebih awal, patuhi arahan penguat kuasa dan beri kerjasama demi kelancaran dan keselamatan semua pihak.
"Statistik pergerakan menunjukkan sebanyak 21,971 individu masuk dan keluar melalui Kompleks ICQS, semalam... 4,941 individu pelbagai warganegara antaranya Malaysia, Thailand, Indonesia, China dan India masuk ke Malaysia, manakala 17,030 individu pula keluar ke Thailand," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata bagi menangani kesesakan itu, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRT) telah diaktifkan selain menempatkan pegawai bertugas tambahan bagi mengawal aliran trafik di kawasan ICQS berkenaan.
Beliau berkata turut digerakkan ialah kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan pintu masuk yang dibuka seawal 6 pagi dan ditutup pada 12 malam itu dikawal rapi.
Menurut Mohd Nasaruddin, pemantauan rapi turut dilaksanakan secara berterusan di lapangan bagi memastikan keadaan keseluruhan adalah terkawal.
"AKPS juga menasihatkan semua pengembara yang melalui ICQS Bukit Kayu Hitam untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua petugas penguatkuasaan yang berada di lapangan dan merancang perjalanan sebaiknya," katanya.
Beliau berkata pengembara juga diminta untuk menyusun jadual perjalanan lebih awal, mengambil kira tempoh menunggu serta mematuhi arahan penguat kuasa untuk keselamatan dan kelancaran semua pihak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami