E-Dagang dan Perkhidmatan ICT bakal menjadi penyumbang utama dalam usaha negara mencapai sasaran 17 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK dalam ekonomi digital Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata sasaran itu dapat dicapai menerusi Pelan Tindakan Digital Malaysia 354 yang memberi penekanan terhadap tiga bidang utama.

Tiga bidang terbabit ialah akses kepada infrastruktur digital, penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan produktiviti dan mengalakkan masyarakat menggunakan ICT dalam kehidupan harian merentasi lima subsektor ekonomi digital.

"Terdapat 5 fokus ICT, perkhidmatan ICT, e-dagang, pembuatan ICT, perdagangan ICT dan kandungan dan media, kelima-lima bidang ini diperlukan untuk berkembang sebanyak 9.8 peratus dari 2010 hingga 2020." katanya.

Najib berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia kali ke -25 di ibu negara pada Khamis.

Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC) akan memulakan peranan sektor swasta sebagai pemaju dalam projek analisis data besar menerusi peruntukan RM 10 juta bagi mewujudkan 20 aplikasi untuk komuniti perniagaan.

Antara lain, inisiatif "Digital Malaysia 354" adalah dengan meneruskan kelangsungan syarikat Malaysia berstatus MSC, dan menambah jumlah inkubator.

Pendekatan itu akan memberi manfaat kepada komuniti usahawan digital, industri kecil dan sederhana, kumpulan B40 dan golongan belia.