KUCHING :Memasuki tahun keempat penganjurannya, Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) berjaya menggerakkan ekonomi rakyat Sarawak pada tahap yang amat memberangsangkan.

Dengan tiga teras iaitu kesejahteraan ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar, ia berupaya menyokong objektif IDECS khasnya bagi memulihkan sosioekonomi rakyat akibat COVID-19.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, walaupun pandemik COVID-19 memberi tekanan kepada ekonomi dalam pelbagai aspek, namun Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) berjaya memformulasikan strategi ekonomi tersendiri iaitu ‘Post COVID-19 Exit Economic Strategy 2020'.

Ujarnya, pada suku ketiga 2021, sebanyak 300 menara telekomunikasi akan siap sepenuhnya yang akan menyediakan jaringan komunikasi yang lebih baik kepada penduduk terutamanya di kawasan pedalaman.



“Pelancaran menara SMA300 Tahap 2 adalah merupakan pelan strategik yang masih berada pada peringkat perancangan.

“Setelah siap nanti, 600 menara telekomunikasi ini akan melengkapkan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Perkongsian strategik ini akan merealisasikan visi Sarawak dalam mencapai 99.9 peratus liputan jalur lebar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan IDECS 2020 di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Persidangan IDECS 2020 dengan tema ‘Data and Innovation Accelerating Social and Economic Prosperity’ kali ini dianjurkan secara maya dengan penglibatan pelbagai pihak dari seluruh dunia.

Jelas Abang Johari, pelan yang sedang dilaksanakan ini adalah merupakan pendekatan segar terhadap ekonomi digital Sarawak yang nyata memberi kelebihan kepada rakyat di setiap pelusuk negeri itu.

“Strategi yang dilaksanakan ini menyaksikan kemajuan dalam arena digitalisasi,” tambahnya.