Skip to main content

Malaysia

IIM angkat 37 organisasi melalui Pensijilan UNGGUL SPINE

IIM, UNGGUL credit: IIM
Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika memberi ucapan pada Majlis Pensijilan UNGGUL Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE), di Kuala Lumpur. - Foto IIM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pensijilan bukan sekadar simbol pengiktirafan tetapi merupakan penanda aras kepada keupayaan organisasi membina sistem tadbir urus yang mampan.

Menerusi Pensijilan UNGGUL Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE), Institut Integriti Malaysia (IIM) mengiktiraf 37 organisasi sektor awam yang berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam pelaksanaan amalan integriti, governans dan antirasuah.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu majlis di Kuala Lumpur, sebagai penghargaan kepada kementerian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta pelbagai agensi kerajaan yang berjaya memenuhi standard pengurusan integriti dan governans yang ditetapkan.

Image
IIM, UNGGUL credit: IIM
Pensijilan UNGGUL yang diterima oleh 37 organisasi adalah hasil penilaian menyeluruh terhadap pelaksanaan sistem pengurusan integriti dan governans masing-masing. - Foto IIM

SPINE merupakan sistem pengurusan integriti dan governans yang dibangunkan oleh IIM bagi membantu organisasi sektor awam menilai tahap kematangan sistem integriti secara sistematik, mengenal pasti jurang pelaksanaan serta melaksanakan penambahbaikan berterusan ke arah tadbir urus yang lebih telus, cekap dan berintegriti.

Sistem itu dibangunkan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, selain menyokong pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES).

Melalui pendekatan penilaian kendiri yang disokong mekanisme verifikasi dan pemantauan berterusan, SPINE memberi tumpuan kepada tujuh komponen utama, termasuk standard dan nilai integriti, pengurusan risiko, dasar dan prosedur, pengurusan aduan serta siasatan, penguatkuasaan, latihan serta pembudayaan integriti, selain pemantauan dan penambahbaikan berterusan berasaskan kitaran Plan-Do-Check-Act (PDCA).

Pensijilan UNGGUL yang diterima oleh 37 organisasi terbabit adalah hasil penilaian menyeluruh terhadap pelaksanaan sistem pengurusan integriti dan governans masing-masing.

Pengiktirafan itu membuktikan organisasi berkenaan bukan sahaja mempunyai dasar dan mekanisme integriti yang tersusun, malah berjaya menterjemahkan komitmen kepimpinan melalui pengurusan risiko yang berkesan, kawalan dalaman yang kukuh, pengurusan aduan secara sistematik, latihan berterusan serta usaha penambahbaikan yang konsisten.

Antara penerima Pensijilan UNGGUL SPINE ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Amanah Rakyat (MARA), RISDA, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta beberapa kementerian, pejabat kerajaan negeri dan agensi awam lain di seluruh negara.

Image
IIM, UNGGUL credit: IIM
Shamsul Azri (dua, kiri) ketika sesi penyampaian Sijil UNGGUL SPINE. - Foto IIM

Menurut IIM, pencapaian tersebut mencerminkan kesungguhan sektor awam dalam mempertingkat keyakinan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui kepimpinan yang berwibawa, sistem governans yang mantap serta penghayatan nilai integriti di setiap peringkat organisasi.

Selaras dengan mandatnya sebagai agensi peneraju pembudayaan integriti negara, IIM menyifatkan SPINE sebagai instrumen penting dalam membantu organisasi sektor awam meningkatkan akauntabiliti, mengurangkan risiko salah laku dan rasuah, di samping menyokong usaha kerajaan mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam menerusi amalan governans yang lebih berkesan.

Pada majlis sama, IIM turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Kesetiaan kepada warga kerjanya sebagai penghargaan terhadap prestasi, komitmen dan dedikasi sepanjang tempoh perkhidmatan.

Image
IIM, UNGGUL credit: IIM
Shamsul Azri (tengah) ketika ditemui media pada Majlis Pensijilan UNGGUL Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE). - Foto IIM

Must Watch Video

Advertisement