Iklan Tahun Baru Cina Petronas yang dimuat naik di YouTube sejak seminggu yang lalu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Sehingga hari ini, iklan berjudul Tau Fu Fah itu telah ditonton sebanyak lebih 250,000 kali.




Tau Fu Fah mengisahkan seorang peniaga muda yang bertemu dengan kekasih hatinya setelah wanita tersebut tertarik dengan tau fu fah jualannya.

Tema ceritanya berkisar kepada kehidupan yang penuh cabaran, bagaimana untuk kekal bersama waktu suka dan duka dan terus berpegang pada harapan untuk masa depan yang lebih gemilang. Semuanya bermula pada satu pertemuan sepasang kekasih di sebuah gerai menjual tau fu fah.

Iklan itu dihasilkan oleh syarikat pengiklanan, Leo Burnett and Arc Worldwide Malaysia.

Syarikat sama sebelum ini bertanggungjawab menghasilkan iklan musim perayaan Petronas yang lain hampir setiap tahun termasuk iklan sempena sambutan Hari Merdeka.

Iklan-iklan itu selalu ditunggu-tunggu kemunculannya kerana sifatnya yang menyentuh perasaan.