"SAYA nak buat pengakuan. Saya tidak menafikan. Tuduhan (salah guna kuasa dan rasuah) itu memang ada kebenaran. Kalau kita tidak mengakui kelemahan, selagi itu kita tidak dapat mencari (jalan) penyelesaian."

Demikian mukadimah Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam ketika bertindak sebagai pembicara utama program Breakfast Talk, anjuran bersama JKDM dan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) baru-baru ini. Program ini, yang bertemakan "Membanteras Ketirisan Hasil Negara", merupakan salah satu daripada aktiviti diusahakan INTEGRITI bagi meningkatkan pemupukan dan pembudayaan nilai-nilai integriti dalam kalangan rakyat negara ini. Ia memfokus kepada isu-isu integriti semasa.

Jarang sekali kita mendengar ketua agensi membuat pengakuan terbuka seperti itu, lebih-lebih lagi di hadapan wartawan. Subromaniam berkongsi tanggapan banyak pihak yang sering menuduh Kastam sebagai agensi yang berdepan dengan isu salah guna kuasa dan rasuah.

Bagi melahirkan persekitaran pentadbiran cukai moden, kata beliau, JKDM perlu meningkatkan agenda "menjuarai usaha" mengikis tanggapan sedemikian. Beliau yakin usaha itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai jika semua pihak berkepentingan berganding bahu dan bekerjasama dengan JKDM. Ia amat penting dan signifikan ketika negara memerlukan wang dan pendapatan bagi meneruskan dasar pembangunan negara dengan berkesan.

Sambil menyambut baik sokongan diberikan INTEGRITI dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Subromaniam menyatakan sumber terbesar ketirisan adalah kerana penipuan komersial, penyeludupan dan pengelakan cukai, tidak berintegriti dan salah guna fasiliti.

Seiring dengan tema perbincangan program kata beliau, JKDM beriltizam untuk melaksanakan strategi bersepadu bagi mengurangkan jurang hasil kutipan cukai berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Subromaniam juga berkata JKDM telah memberi komtimen kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mencari jalan bagi menampung kehilangan hasil berikutan pelaksanaan semula SST. "Yang saya janjikan kepada beliau ialah kita akan mengurangkan jurang. Bagi import eksport sahaja, kita perlu mencari tambahan RM3 bilion daripada kehilangan hasil tetapi jumlah sebenar (jurang), saya tidak boleh beritahu.” Beliau seterusnya berkata, “dari segi pematuhan GST, memang ada banyak syarikat yang tidak ikrar dengan sebenar. Justeru, kita akan membuat audit penutupan dan mendapatkan angkanya." Kita perlu mengakui sikap sesetengah syarikat yang ingkar membuat ikrar yang sebenar juga merupakan isu pelanggaran integriti. Dalam ucapannya, Subromaniam turut berkongsi banyak contoh isu rasuah dan pelanggaran integriti yang membabitkan kedua-dua pihak dalaman dan luaran.

Beliau mengakui JKDM berdepan dengan masalah ketirisan akibat beberapa faktor. Antara lain kerana sikap segelintir pegawai yang tidak berintegriti ketika menjalankan tugas, sistem prosedur, profesionalisme ejen, penyeludupan terus dan pengelakan cukai. Bagi membendung masalah itu jelas Subromaniam, JKDM giat melaksanakan pelbagai langkah, termasuk menggantung lesen ejen, mengenakan penalti, melakukan pertukaran pegawai, penstrukturan semula dan syarat lebih ketat pemilihan pegawai. Lebih 30 ejen telah digantung setakat ini, katanya.

JKDM telah mula mengambil langkah konkrit bagi memupuk budaya berintegriti dalam kalangan anggota jabatannya dan meningkatkan tadbir urus baik. Di bawah kerjasama dengan INTEGRITI, JKDM telah melaksanakan langkah memperkukuh budaya berintegriti. Ini termasuk mengguna pakai ujian psikometrik Profil Integriti Malaysia (MIP), yang melibatkan proses pengambilan pegawai-pegawai jabatan itu. MIP merupakan satu instrumen yang digunakan untuk menilai tahap integriti seseorang individu dalam dua aspek utama iaitu Kualiti Peribadi dan Pendirian.

Sebelum ini, Subromaniam pernah dipetik berkata kebanyakan kes salah guna kuasa melibatkan anggota serta pegawai kastam berlaku di pintu-pintu masuk utama negara selain bahagian taksiran barang-barang dan pemeriksaan penumpang. Kastam juga telah mewujudkan mekanisme pengurusan risiko rasuah (CRM) supaya jabatan dapat melihat dan menyemak semula prosedur kerja agar ia dapat dimantapkan supaya ruang serta peluang untuk berlakunya salah guna kuasa termasuk gejala rasuah dapat dikurangkan.
Justeru, tindakan holistik melibatkan semua peringkat penting bagi melihat keberkesanan usaha mengekang aktiviti penyeludupan dan mengatasi isu ketirisan pendapatan negara. Kastam merupakan agensi penguatkuasaan pertama yang melaksanakan ujian MIP dan INTEGRITI berharap MIP dapat membantu JKDM memartabatkan integriti selain memastikan jabatan bebas gejala rasuah dan seterusnya menaikkan imej perkhidmatan kastam.

Pada program Breakfast Talk INTEGRITI, Subromaniam menekankan kerajaan sentiasa menekankan kepada tadbir urus yang baik, kompetensi, akauntabiliti, ketelusan serta tiada ruang untuk salah guna kuasa dan rasuah. Malah komitmen ke arah itu turut ditekankan oleh kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Sehubungan itu beliau memberi jaminan Jabatan Kastam akan memastikan isu ketirisan tidak berlaku dan membawa ke arah budaya kerja berprestasi tinggi – seperti moto ‘I-Speed” yang merujuk kepada aspek integriti, speed (cepat), professional, efisien, efektif dan dinamik. Subromaniam turut menzahirkan komitmen tinggi bagi membanteras ketirisan pendapatan dari sudut perkhidmatan kastam.

Bagi mencapai sasaran itu, Subromaniam mahu warga kerja JKDM mempamerkan skil teknikal yang tinggi. Dalam hal ini peranan kesemua pihak berkepentingan lain termasuk syarikat penghantaran dan ejen mereka serta orang ramai juga sangat penting. Budaya berintegriti tinggi perlu ada pada diri semua pihak.



* Dr G Manimaran merupakan Pengarah Program Komunikasi Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI)