JOHOR BAHRU: Meskipun berusia hampir 60 tahun, namun, bangunan Surau Al-Muhtadin di Kempas, di sini, masih tersergam indah, dengan tanaman hijau yang tumbuh permai disekitarnya.

Tambah berseri, pekarangan surau disinari cahaya daripada lampu pemancar LED sekali gus menyerlahkan lagi dekorasi surau pada waktu malam.

Namun, apa yang menjadikan Surau Al-Muhtadin sangat istimewa di sebalik keindahan itu ialah, tersemat titik peluh anak muda setempat, yang menggembleng tenaga bagi memakmurkan  rumah ibadah yang terletak di Jalan Masjid, Kempas Baru.

Surau Al-Muhtadin

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Muhtadin, Jasri Jamil, mereka memulakan usaha mengimarahkan surau berkenaan sejak Januari lalu.

Katanya, inisiatif yang dilakukan terhadap surau yang dibina sekitar tahun 70-an itu secara tidak langsung memberikan nafas baharu kepada bangunan lama tersebut.

"Sejak menyertai ahli jawatankuasa surau pada awal tahun ini hasrat kami mahu tarik lebih ramai anak muda untuk datang ke surau. Oleh sebab itu, kita banyak ketengahkan program-program dan pendekatan yang mesra-belia di surau ini.

"Sebagai contoh, kita memasang projektor dan skrin besar di ruang legar surau, ini strategi 'serampang dua mata' yang kita telah usahakan.

"Selain dapat dimanfaatkan bagi penganjuran kuliah dan program ceramah keagamaan, ia turut dapat digunakan untuk menonton televisyen, khususnya menyaksikan siaran langsung bola sepak yang menjadi minat anak muda.

"Di samping itu, pemasangan lampu LED disekitar pekarangan surau juga mampu mencuri perhatian pengunjung terutamanya membabitkan golongan remaja yang menjadikan kawasan ini sebagai 'spot' untuk mereka singgah bersama teman-teman yang lain,

"Kita juga tak mahu ada stigma yang mengatakan bahawa surau ini hanyalah untuk sembahyang, aktiviti membaca al-Quran dan sebagainya. Kita nak skopnya lebih luas lagi untuk memeriahkan aktiviti surau," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui.

Menurut Jasri, Surau Al-Muhtadin juga merupakan surau pertama yang didirikan di Kempas dan mempunyai nilai estetika yang tinggi dalam kalangan penduduk sekitar, sekali gus, menjadi sebab utama mengapa ia wajar dijaga dan dipelihara.

Pengimarahan surau Al-Muhtadin, tarik perhatian anak muda

Anak muda ketuai solat fardu

Dalam perkembangan berkaitan, Surau Al-Muhtadin turut menampilkan barisan imam dan muazin dalam kalangan remaja untuk mengetuai solat fardu, iaitu sesuatu yang lazimnya jarang dilihat di mana-mana surau di kampung.

Kebiasaannya, di sebilangan besar kawasan kampung, surau-surau diterajui oleh golongan veteran, yang baru bersara atau golongan separuh umur.

Usaha yang dirintis itu membolehkan anak muda yang lain terpanggil untuk menunaikan ibadah bersama-sama 200 lagi orang jemaah yang mampu dimuatkan dalam surau terbabit.

Seperti kata imam surau berkenaan, Muhammad Nirwan Shah Darmawan, 26, dia turut mengharapkan dengan usaha yang telah dibuat itu, berhasil membuka hati lebih ramai rakan sebayanya untuk mengunjungi surau tersebut.

"Insya-Allah, besar harapan saya untuk mengimarahkan Surau Al-Muhtadin ini. Semoga dengan tarikan daripada anak-anak muda dan penduduk setempat, saya mengharapkan agar usaha kita ini dapat untuk meramaikan jemaah-jemaah di sini.

"Kita nak pastikan daripada golongan muda ini membazirkan masa dengan aktiviti tidak berfaedah, mereka dapat menyertai program-program yang surau adakan.

"Program-program dan aturcara yang kita buat di surau ini, Insya-Allah, dapat tarik orang muda. Biar mereka tahu, ini rupanya kemeriahan di Surau Al-Muhtadin," ujar Muhammad Nirwan.

Muhammad Nirwan Shah Darmawan

Sementara itu, pelbagai tingkat teknologi turut diaplikasikan terhadap bangunan yang berukuran 210 kaki persegi itu.

Ia melibatkan pemasangan sistem projektor dan skrin besar, selain alat pembesar suara serta sistem CCTV.

Jasri, dalam masa sama memaklumkan, pengurusan surau dan ahli kariah turut sedang dalam perancangan untuk membangunkan kawasan riadah bagi aktiviti sukan berskala kecil seperti ping pong, sepak takraw, dart dan memanah di kawasan berhampiran.

Antara jemaah Surau Ah-Muhtadin.

Manakala pelbagai aktiviti keagamaan turut direncanakan seperti kelas fardu ain, tadarus al-Quran, pengajian bahasa Arab, program-program Helwa dan banyak lagi.

"Terdapat dua bilik kuliah yang kita akan sediakan untuk mengadakan kelas tuisyen bagi calon SPM sesi tahun 2023. Usaha ini dibantu dengan kerjasama pihak Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), bagi membekalkan guru dan tenaga pengajar.

"Selain itu, dengan kemudahan wi-fi yang akan kita disediakan tidak lama lagi, maka kami merancang untuk mewujudkan aktiviti e-sukan dan penganjuran kejohanan permainan video yg bersesuaian, bagi menarik minat anak muda.

"Tapak yang luas di kawasan parkir surau ini juga boleh digunakan untuk aktiviti perniagaan. Selain menarik kehadiran pengunjung, ia juga boleh menjana hasil yang boleh gunakan buat kelangsungan surau.

"Kita juga mahukan surau ini berfungsi sebagai pusat interaksi masyarakat setempat. Bukan hanya untuk beribadah semata-mata, malah mereka boleh datang ke sini untuk beriadah," ujar Jasri lagi.


Selain solat lima waktu, pelbagai aktiviti keagamaan lain seperti kelas fardu ain, tadarus al-Quran dan pengajian bahasa Arab sedang dirancang dilaksanakan di Surau Ah-Muhtadin.