UMNO pada suku pertama tahun 2014 mengutamakan isu penambahan keahlian dan sokongan pengundi baru menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ia turut diterjemahkan dan dizahirkan dengan saranan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mahu mewujudkan Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai salah satu usaha menarik sokongan lebih ramai golongan muda terhadap parti itu menjelang PRU ke-14.
Selain itu, antara yang menarik pada awal 2014 adalah penarikan kembali saman terhadap Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan dua lagi individu yang sebelum ini didakwa mengaitkan UMNO dengan penyebaran video lucah di laman web.
Pada Februari, Ketua Bahagian UMNO Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menyatakan permintaan agar UMNO perlu menjinakkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dengan meletakkan syarat dalam hubungannya dengan badan bukan kerajaan itu dan tidak membiarkan ia terus-menerus menentukan keadaan terutama dalam landskap politik negara.
UMNO juga dilihat cuba membawa kerjasama dengan PAS dan semua pihak tentang hudud. Ia dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu kedua-dua parti untuk duduk semeja dan berbincang sebelum PAS bertindak membawa usul hudud ke Parlimen.
Sejarah hitam UMNO: Ahmad Said keluar parti, letak jawatan MB Terengganu
(Salah faham dikatakan punca Ahmad umum keluar UMNO sekali gus meletakkan jawatan sebagai MB Terengganu - Gambar fail/Grafik oleh Nurmaya Rafeah Shazali (Pelatih KPM Indera Mahkota)
13 MEI mencatat sejarah hitam buat UMNO apabila Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu dan mengumumkan keluar dari parti. Bagaimanapun ia disifatkan salah faham yang berlaku sesama mereka seminggu sebelum majlis perkahwinan anaknya.
Krisis politik Terengganu dikatakan sebenarnya bermula selepas pelantikan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar yang baru dan menyebabkan Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud serta ADUN Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Ahmad Razif kemudian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, selepas dua hari, Ahmad, Roslee dan Ghazali mengumumkan tidak jadi meninggalkan UMNO.
Ahmad Razif pula selepas itu mengumumkan menyediakan bas percuma kepada rakyat untuk pergi ke rumah Ahmad dan menghadiri majlis perkahwinan anak Ahmad yang dikatakan punca keretakan UMNO negeri selain mengenang jasa sebagai menteri besar Terengganu selama enam tahun.
Keadaaan menjadi bertambah manis apabila Najib sendiri memohon maaf kepada Ahmad dan menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis perkahwinan anak Ahmad.
Dengan perkembangan terbaru ini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi DUN Terengganu di mana PAS menguasai 14 kerusi DUN manakala PKR pula satu kerusi sementara baki dua lagi adalah calon bebas.
Kemelut itu dianggap sudah dilupakan apabila Ahmad hadir pada persidangan hari pertama mesyuarat ketiga penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-13 sebagai ADUN biasa awal Disember lepas selain disambut mesra oleh semua pegawai, ADUN dan Exco termasuk Ahmad Razif yang turut meluangkan masa menikmati nasi dagang bersama Ahmad ketika waktu rehat persidangan DUN.
PRK: Ustaz UMNO menang besar di Pengkalan Kubor
Ustaz Razi menguatkan sokongan UMNO di Kelantan dengan kemenangan majoriti 2,635 undi berbanding PAS pada PRK Pengkalan Kubor - Gambar fail
UMNO mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor apabila calonnya, Mat Razi Mat Ail memperoleh majoriti 2,635 undi pada pilihan raya kecil (PRK) DUN itu pada 25 September.
Majoriti undi juga meningkat 899 berbanding 1,736 undi yang diperoleh penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Mat Razi, 48, meraih 9,961 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, yang mendapat 7,326 undi.
Bagaimanapun calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47, hilang wang pertaruhan selepas memperoleh 38 undi sahaja.
Sebanyak 73 peratus atau 17,555 pengundi daripada 24,039 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
PRK itu diadakan ekoran kematian Noor Zahidi pada 20 Ogos.
Pada PRU ke-13, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Mat Razi merupakan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat dan dikenali dengan panggilan ustaz kerana beliau mengasaskan Pondok Simpangan di Tumpat sebagai tempat untuk mempelajari al-Quran dan ilmu agama.
Selain kemenangan UMNO di Pengkalan Kubor, BN turut mencatat kemenangan di PRK Balingian (N51) dengan calonnya Yussibnosh Balo yang mengalahkan calon PKR, Abdul Jalil Bujang dengan majoriti 6,911 undi dan di PRK Teluk Intan (P076) dengan kemenangan calon Gerakan, Mah Siew Keong yang mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.
Veteran UMNO: Nasihat kepada yang ada, mengenang kepada yang pergi
Jasa dan pandangan veteran UMNO yang masih ada atau yang telah meninggal dunia akan sentiasa dikenang dan diambil sebagai ramuan kecemerlangan parti - Gambar fail/Grafik oleh Nurmaya Rafeah Shazali (Pelatih KPM Indera Mahkota)
Mereka harus dihormati selain setiap teguran yang diberi harus diambil pertimbangan demi kelangsungan UMNO sendiri.
Bagaimanapun, nasihat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta veteran UMNO jangan hanya bernostalgia, sebaliknya perlu berpijak di bumi nyata sebenarnya memberi nafas baru kepada golongan itu.
Kata Ahmad Zahid, pendekatan veteran UMNO juga perlu sedikit penganjakan kerana corak pemikiran pengundi kini sudah berubah dan ia memerlukan pendekatan komunikasi yang lebih baik untuk menarik sokongan mereka.
Dengan mengambil contoh pemimpin lama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, veteran UMNO dilihat masih mampu memikat sokongan orang muda walaupun lebih veteran dalam parti.
Tegasnya, veteran UMNO tidak seharusnya rasa terpinggir dan berkecil hati kerana perjuangan mereka tidak pernah dilupakan pemimpin muda parti itu.
Katanya, semangat orang lama dalam parti keramat Melayu itu akan terus diambil kira bagi mengukuhkan parti UMNO sebagai sebuah parti lama yang masih unggul.
Dalam pada itu, 2014 juga mencatat kesedihan kepada beberapa veteran UMNO yang meninggal dunia.
Antaranya Bekas Ketua UMNO Bahagian Merbok dan juga bekas Adun Tanjung Dawai, Datuk Azmi Abdul Hamid yang meninggal dunia pada 27 Julai.
Selain itu, pada 8 September, tokoh Kemerdekaan dan veteran UMNO Bahagian Besut, Wan Mustaffa Wan Jusoh juga meninggal dunia.
Sementara itu, pada 14 Oktober, anak kepada pemimpin Melayu, Datuk Onn Jaafar yang juga merupakan pengasas UMNO, Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn meninggal dunia.
Seorang lagi veteran UMNO yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan juga meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 8 Disember selepas diserang sakit jantung.
Dalam pada itu pada 25 Disember, bekas senator dan pejuang kemerdekaan di Perlis, Abdul Rahman Ahmad, juga meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kerana pembuluh darah ke jantung pecah.
Tun M vs Najib: Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan
Teguran Dr Mahathir di dalam blognya disifatkan kerana rasa sayang kepada pemimpin nombor satu negara, Najib - Gambar fail/Grafik oleh Nurmaya Rafeah Shazali (Pelatih KPM Indera Mahkota)
BEBERAPA teguran Dr Mahathir kepada Najib dilihat memberi kesan kepada kepimpinan UMNO sendiri.
Bagaimanapun, teguran Dr Mahathir yang kebanyakannya diluahkan dalam blognya, chedet.cc itu dilihat semakin 'pedas' terutama BN gagal mencatat kemenangan dua pertiiga pada PRU ke-13 pada 2013.
Antaranya, Dr Mahathir berkata, banyak dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib 'merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara'.
Katanya, kelemahan Najib bermula apabila mula melayan tuntutan beberapa pihak dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2011 serta Akta Buang Negeri, yang memberi kuasa kepada kerajaan menahan sesiapa disyaki terlibat jenayah tanpa proses mahkamah.
Dr Mahathir turut menegur Najib berhubung dasar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan sejak 2011.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyelar pentadbiran Najib dan mengumumkan menarik balik sokongan kepada beliau kerana kesal tegurannya tidak diendahkan.
Paling 'pedas' apabila Dr Mahathir menyifatkan Najib lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang mempertahankan Najib selepas dikritik hebat Dr Mahathir pada 25 Ogos memberitahu, setiap keputusan menggubal dasar dan membuat keputusan yang dibuat kerajaan adalah selepas perbincangan dalam Kabinet.
Muhyiddin turut memberitahu, Najib tidak bersifat diktator dalam setiap keputusan yang dibuat.
Muhyiddin juga berkata sudah bertemu Dr Mahathir dan memberikan penjelasan sekiranya maklumat mengenai beberapa isu tidak sampai kepada bekas presiden UMNO.
Dengan memberi alasan masa sudah berubah berbanding era Dr Mahathir terutamanya dengan perkembangan media sosial terutama pengaruh media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain tidak boleh dinafikan.
Muhyiddin juga yakin majoriti rakyat masih menyokong kepimpinan Najib, terutama bahagian UMNO di seluruh negara.
Selain Muhyiddin, ramai lagi pemimpin UMNO yang mempertahankan Najib, termasuk Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggunakan contoh Najib menangani tragedi Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 sebagai keberkesanan kerajaan.
Ini diikuti Ahmad Zahid yang berkata Najib mesti dihormati semua, termasuk Dr Mahathir.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 5 September menyifatkan teguran bapanya kepada Najib itu datang daripada sifat sayangnya kepada pemimpin tertinggi negara itu selain bertujuan memberi kekuatan kepada perdana menteri yang berhadapan pelbagai ujian akhir-akhir ini.
Perhimpunan Agung UMNO: Solidariti, kuasa Wanita, kelantangan Pemuda dan semut api Puteri
Ucapan Najib, semangat Wanita, kekentalan Pemuda dan insiprasi Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO dilihat platform parti untuk lebih dekat di hati bangsa Melayu - Gambar fail/Grafik oleh Nurmaya Rafeah Shazali (Pelatih KPM Indera Mahkota)
PERHIMPUNAN Agung UMNO ke-68 yang membuka tirai pada 25 November sehingga penutup pada 29 November memberi dimensi baru kepada parti.
Ucapan pemimpin tertinggi dan ketua sayap parti yang terkesan kepada perjuangan UMNO selama ini diibarat menyuntik kembali semangat parti untuk berjuang membela nasib Melayu.
Najib selaku Presiden parti yang membuka langkah dengan memperkenalkan istilah solidariti menggamat dewan dengan mengekalkan Akta Hasutan selain memperkukuhkannya dengan dua peruntukan khas.
Itu tidak termasuk perundingan khas demi meremajakan parti dengan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO untuk diberikan peluang dan jawatan setimpal yang lebih ramai bagi mereka yang berusia di bawah 40 tahun.
Isu meremajakan parti dikuatkan lagi dengan ucapan Muhyiddin, selaku Timbalan Presiden, yang mahukan anggota parti bangkit membaiki kelunturan kepercayaan rakyat terhadap UMNO yang mewakili hasrat, aspirasi dan pandangan generasi muda yang mahukan perubahan dalam parti itu.
Dalam pada itu, permintaan Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang meminta satu kerusi tambahan diwujudkan bagi jawatan Naib Presiden UMNO dan Naib Ketua UMNO Bahagian untuk sayap itu disifatkan bukan untuk mencantas sesiapa.
Ia disifatkan bagi memperkasa penglibatan wanita dalam politik selain sebagai pengiktirafan terhadap peranan serta jasa Wanita UMNO terhadap parti.
Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin turut menggesa UMNO memberi lebih peluang kepada pemimpin muda termasuk mengangkat mereka menjadi calon dalam pilihan raya untuk memastikan parti terbesar orang Melayu itu memiliki faktor ‘wow’ dan sekali gus menarik sokongan golongan berkenaan.
Ia disifatkan sebahagian daripada proses peremajaan yang dituntut dalam parti dan UMNO tidak boleh tertinggal dalam aspek berkenaan ketika parti pembangkang sudah mengorak langkah tersebut.
Sementara Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan akan membina benteng parti di media sosial, dengan menubuhkan barisan semut api yang akan bergerak secara diam dan menepis segala serangan, fitnah dan penipuan melalui internet.
Semut walaupun kecil, kata Mas Ermieyati, gigitannya mampu mengundang sakit dan ini yang mahu diterapkan dalam Puteri UMNO.
Kesimpulan
UMNO dilihat cuba memperbaiki mekanisme dalaman dan menerokai isu-isu semasa apatah lagi ia merupakan tunjang kepada BN.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, sebagai parti komponen pemerintah dan kebanyakan pemimpin menjadi pemimpin utama kerajaan dan menyebabkan dasar kerajaan dihubungkan sebagai dasar parti.
"Di samping memberi pengiktirafan, kelemahan juga turut memberi kesannya pada parti.
"2015, sudah pasti cabaran besar adalah untuk menangani persepsi ke atas kepimpinan, pelaksanaan dasar dan isu semasa nanti. Cabaran lain adalah persiapan untuk pemilihan parti pada 2016," katanya.
Tambahnya, UMNO perlu melihat semula petunjuk prestasi utama (KPI) dan penaziran yang mahu dilakukan sebagaimana yang dibahas pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.
"Malahan UMNO perlu mengenalpasti kekuatan, kelemahan, cabaran dan peluang kerana 2015 akan mempunyai keterbatasan tersendiri khususnya legitimasi politik dan moral yang perlu diperhebatkan.
"Nilai kepimpinan akan mendokongi aspirasi ini dan sebarang kritikan dan pujian perlu dihalusi supaya sokongan tidak membawa rebah dan barisan dipelbagai peringkat diperkukuhkan melangkaui kepentingan peribadi demi survivalitas parti," jelasnya.
Jelasnya, negeri-negeri yang berhadapan dengan kemelut dalaman wajar diperincikan kekangan agar tidak mengganggu persiapan PRU ke-14 akan datang.
Pada PRU ke-13, UMNO kekal tonggak BN apabila menjadi penyumbang terbesar kerusi Parlimen kepada parti gabungan dengan menyumbang 109 daripada 133 kerusi yang dimenangi BN selain bertanding 120 kerusi.
Angka 109 kerusi itu menunjukkan peningkatan pencapaian sebanyak 23 peratus berbanding PRU 2008 apabila BN memenangi 79 kerusi Parlimen daripada 117 kerusi yang dipertanding.
Bagi DUN, UMNO berjaya menguasai 244 kerusi daripada 339 kerusi yang dipertanding berbanding 239 daripada 338 kerusi pada 2008.