JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 42 warga asing, selepas menggempur 19 lokasi tumpuan mereka di daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar, pada Selasa lepas dan semalam.

Ketua Pengarahnya Baharuddin Tahir berkata secara keseluruhan sebanyak 52 premis diserbu di lokasi tumpuan tersebut oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, serta Unit Penguatkuasa Cawangan Muar dan Batu Pahat.

Beliau berkata seramai 26 warga Myanmar, Bangladesh (enam), Indonesia (lima), Nepal (tiga) serta India dan Vietnam (masing-masing satu), ditahan kerana dipercayai bekerja dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang sah serta tinggal lebih masa.

"Warga asing yang ditahan dalam operasi ini terdiri daripada 29 lelaki, 11 wanita dan dua kanak-kanak lelaki, berusia antara tiga hingga 52 tahun.

"Tindakan (penahanan) dibuat susulan aduan awam yang diterima berhubung terdapat beberapa warga asing yang tinggal dan bekerja tanpa pas atau permit yang sah di lokasi tumpuan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15(1)(c) akta yang sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Baharuddin berkata Bahagian Penguatkuasa JIM Johor turut menahan lapan warga asing menerusi 'Ops Bersama' di 11 premis di Pontian, semalam.

Beliau berkata kesemua yang ditahan, terdiri daripada tiga lelaki Indonesia dan Bangladesh, Nepal, Pakistan, Myanmar serta India masing-masing seorang, dengan usia lingkungan 20 hingga 45 tahun.

"Operasi ini dijalankan susulan aduan awam yang menyatakan bahawa premis tersebut menggajikan warga asing dan disyaki tidak memiliki pas atau permit yang sah," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.

-- BERNAMA