Skip to main content

Malaysia

Sewakan tanah pertanian terbiar tingkat pengeluaran makanan negara - Mohamad Sabu

LUNDU, 10 April -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengadakan sesi sidang media selepas mengadakan lawatan ke projek penanaman padi Tanjung Purun, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengadakan sesi sidang media selepas mengadakan lawatan ke projek penanaman padi Tanjung Purun, hari ini. - Foto Bernama

LUNDU: Pemilik tanah pertanian terbiar atau tidak digunakan lagi diharap dapat mempertimbangkan untuk menyewakan tanah mereka bagi memastikan kawasan itu terus diusahakan, sekali gus menyumbang kepada pengeluaran makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu mampu mengoptimumkan penggunaan tanah serta mengurangkan kebergantungan pada import makanan.

Advertisement

Beliau berkata pemilik tanah tidak perlu menjual tanah mereka kepada mana-mana pihak, sebaliknya boleh menyewakannya kepada syarikat atau pengusaha yang berminat untuk membangunkan kawasan berkenaan.

“Biasanya, jika syarikat mahu sewa sudah pasti melibatkan satu tempoh lama seperti 10 tahun atau lebih kerana pertanian ini ambil masa bermula daripada tanam sehingga dapatkan hasil,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek penanaman padi Tanjung Purun di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata Malaysia pada suatu ketika dahulu merupakan antara pengeksport utama getah dunia, namun kini turut mengimport bahan mentah itu berikutan pengeluaran domestik tidak mencukupi.

Katanya, perkara itu berlaku kerana terdapat banyak tanah pekebun kecil getah yang tidak lagi diusahakan.

“Antara faktor utama ialah kekurangan tenaga kerja apabila generasi muda berhijrah ke bandar, menyebabkan kebun getah tidak lagi diusahakan.

“Apabila ada pihak berminat menyewa tanah bagi tujuan pembangunan, ada pemilik yang enggan berbuat demikian kerana menganggap tanah tersebut sebagai tanah pusaka, akhirnya tanah itu terus terbiar,” katanya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video