JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 120 lelaki warga asing selepas disyaki gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa dalam operasi di kawasan kuarters pekerja di tapak perkilangan Ulu Choh, di Iskandar Puteri, awal pagi tadi.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata serbuan pada 1.42 pagi itu susulan aduan awam mengenai kewujudan premis tersebut yang menempatkan pekerja asing kilang konkrit.

Beliau berkata operasi itu melibatkan 140 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa Negeri, serta pegawai Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 108 warga Bangladesh, Pakistan (lapan), India (dua), masing-masing satu dari Nepal dan Indonesia, dengan kesemuanya berusia lingkungan 22 hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata lokasi serbuan yang berada jauh dari laluan utama, merupakan kawasan penempatan pekerja dan tapak perkilangan bahan binaan yang dikelilingi ladang kelapa sawit selain terdapat lebih 30 kontena dan bahan cerucuk besi membahayakan.

Dalam kes berasingan, Baharuddin berkata seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis dan sembilan wanita warga Vietnam berkhidmat sebagai tukang urut, ditahan kerana dipercayai bekerja tanpa permit sah dalam Ops Gegar dan Ops Sapu di dua premis pusat urutan refleksologi sekitar bandar raya ini, pada 4 petang tadi.

"Kesemua wanita Vietnam berusia 22 hingga 38 tahun itu didapati menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta tinggal lebih masa di Malaysia.

"Tindakan itu diambil susulan aduan awam menyatakan terdapat beberapa warga asing melakukan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang di negeri ini," katanya.

Baharuddin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama, serta Peraturan 11(7)(a) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata lelaki tempatan tersebut pula ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

"Orang ramai dan majikan di negeri ini diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing termasuk mengambil pendatang asing untuk bekerja dan sekiranya ia berlaku, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA