KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan telah menjalankan operasi pemeriksaan terhadap sebuah komuniti antarabangsa di Forest City, Johor pada Selasa susulan isu yang dikaitkan dengan Network School.
Dalam kenyataan pada Rabu, JIM memaklumkan, operasi yang dijalankan itu melibatkan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Semakan awal mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan semua pihak mematuhi syarat kemasukan ke negara serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan,"katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
JIM menjelaskan, setiap kemasukan warga asing ke Malaysia tertakluk kepada undang-undang imigresen yang berkuat kuasa, dengan pemeriksaan di pintu masuk negara dibuat berdasarkan dokumen perjalanan, semakan pangkalan data berkaitan dan rekod penguatkuasaan sedia ada.
Menurut kenyataan itu lagi, siasatan akan diperluaskan sekiranya terdapat keraguan atau maklumat baharu berhubung penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.
"JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen.
"Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," kata JIM.
Dalam masa sama, JIM berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara.
Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, dengan ada hantaran mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.