NATIONAL
Imigresen tahan 31 warga asing selepas serbu dua pusat hiburan di ibu negara
Jabatan Imigresen menahan 31 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen selepas menyerbu dua pusat hiburan di Jalan Klang Lama, semalam. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan 31 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen selepas menyerbu dua pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini berkata mereka terdiri daripada terdiri daripada 14 warga Thailand, masing-masing tujuh warga Laos dan Vietnam, dua warga Bangladesh dan seorang warga Singapura, berumur 23 hingga 35 tahun.
Beliau berkata 26 daripada warga asing yang ditahan adalah wanita, dan antara kesalahan yang dikesan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, salah guna permit serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959 dan Akta Imigresen 1963.
"Berdasarkan hasil risikan yang dijalankan selama tiga hari mendapati pusat hiburan ini telah beroperasi sejak dua tahun lepas," katanya dan menambah modus operandi pusat hiburan itu adalah membenarkan kehadiran wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan dalam setiap aktiviti perniagaan bermula 3 petang hingga 2 pagi.
Selain itu 38 individu warga tempatan turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.
Zakaria berkata semasa serbuan, wanita warga asing berkenaan didapati sedang leka melayan pelanggan di pusat hiburan berkenaan.
Kesemua tahanan warga asing kini ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.
-- BERNAMA