MALAYSIA
Imigresen tahan 48 warga asing dalam serbuan di kilang haram dan kediaman mewah

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 48 warga asing dalam serbuan ke atas sebuah kilang pelupusan sisa elektronik (e-waste) haram di Pulau Indah, Klang dan beberapa kawasan perumahan mewah sekitar Lembah Klang pada Khamis. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 48 warga asing dalam serbuan ke atas sebuah kilang pelupusan sisa elektronik (e-waste) haram di Pulau Indah, Klang dan beberapa kawasan perumahan mewah sekitar Lembah Klang pada Khamis.
Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi yang bermula pada 11 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JIM dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berkata dalam serbuan ke atas premis kilang haram yang dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan hasil risikan selama dua minggu, pihaknya memeriksa sebanyak 42 individu terdiri daripada 39 warga asing serta tiga warganegara tempatan.
"Kesemua warga asing yang ditahan terdiri daripada 12 perempuan warga China serta 27 lelaki Bangladesh berusia antara 25 hingga 49 tahun."Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zakaria berkata sembilan lagi warga asing ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi kediaman mewah di Kajang dan Kuala Lumpur yang dipercayai menjadi sarang kegiatan penipuan dalam talian oleh warga asing.
"Hasil pemeriksaan, empat lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga China serta seorang lelaki Taiwan ditahan.
"Kesemua yang ditangkap berumur antara empat hingga 43 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dengan tujuh saman kepada saksi (dipanggil ke pejabat Imigresen untuk bantu siasatan) telah dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo, Melaka untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami