Jabatan Imigresen Labuan berjaya menggagalkan percubaan untuk menjadikan Labuan sebagai pusat transit ke ibu negara, Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini kerana aliran masuk dan keluar pelawat asing dikawal ketat oleh Jabatan Imigresen.

"Walaupun bilangan anggota penguat kuasa terhad, Jabatan Imigresen di sini berjaya melaksanakan penguatkuasaan dan tugas mereka dengan sewajarnya," kata beliau pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 82 anggota Imigresen di sini pada Sabtu.

Wan Junaidi berkata tahun lepas jabatan itu berjaya menumpaskan sindiket Bangladesh yang menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur dari Labuan menggunakan dokumen perjalanan palsu.

"Tiga belas warga Bangladesh yang mempunyai dokumen perjalanan palsu menggunakan laluan Lapangan Terbang Labuan sebagai pusat transit ke Kuala Lumpur ditahan dan ini merupakan sejarah dalam tugas penguatkuasaan Jabatan Imigresen Labuan," katanya.

Wan Junaidi berkata sekurang-kurangnya 82,000 warga asing direkodkan di pulau itu sepanjang tahun lepas dan pergerakan mereka dipantau oleh 91 anggota penguat kuasa Imigresen.

Beliau berkata 129 operasi dijalankan tahun lepas di pulau bebas cukai itu, membabitkan 572 pendatang asing tanpa izin ditahan, kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Sementara itu, beliau berkata Imigresen akan membuka cawangan baharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kompleks Pasar Sentral Labuan pada Ogos ini untuk mengurangkan kesesakan di pejabat Imigresen sekarang di Kompleks Ujana Kewangan di sini.