KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran ‘outcall girl’ dalam satu Operasi Khas yang dijalankan pada 5 Januari lalu di tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jafri Embok Taha dalam satu kenyataan berkata, operasi ini dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama dua minggu.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis dan menahan 32 wanita warganegara Indonesia, 13 wanita warganegara Thailand, tiga wanita warganegara Vietnam dan seorang lelaki warganegara Afghanistan berusia 18 hingga 36 tahun.

“Manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun dipercayai transporter dan dua lelaki tempatan lagi dipercayai penjaga premis berusia 35 hingga 44 tahun turut ditahan.  Jumlah keseluruhan yang telah ditahan adalah seramai 52 orang,” jelas beliau.

Hasil semakan awal mendapati lapan wanita warganegara Thailand yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku, manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Anggota penguat kuasa turut merampas sejumlah kondom, peralatan seks, lapan pasport Thailand, wang tunai sebanyak RM300, tuala, peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah kenderaan Perodua Axia.

Kata Jafri Embok, modus operandi sindiket ini adalah melakukan promosi wanita warganegara asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.

“Wanita warganegara asing yang dipilih akan diuruskan penghantarannya ke hotel atau tempat yang dikehendaki pelanggan melalui setiap pesanan melalui seorang lelaki warganegara Malaysia yang berperanan sebagai transporter.

“Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan antara RM400 hingga RM1,200 mengikut pakej yang disediakan oleh sindiket dan dipercayai sindiket telah beroperasi selama satu tahun,” jelas beliau lagi.

Menurut Jafri Embok, transaksi bayaran yang dilakukan pelanggan adalah melalui tunai atau secara dalam talian sebelum outcall girl diserahkan kepada pelanggan.

Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor.

Manakala, seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan dua lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Seramai lima lelaki warganegara Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” kata Jafri Embok.

Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).