Indeks jenayah di Johor mencatatkan penurunan untuk tempoh lima tahun berturut-turut sejak 2008, melibatkan pengurangan keseluruhan 9,519 kes, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, indeks jenayah Johor menurun 10.32 peratus atau 594 kes.

"Sungguhpun indeks jenayah bukan satu cerminan muktamad mengenai trend penjenayahan, penurunan sebanyak itu membuktikan kesungguhan dan tekad polis Johor dalam menurunkan kadar indeks jenayah," katanya pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Kompleks IPD bernilai RM61 juta itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Khalid, Laporan Ops Cantas Khas Total Enforcement kontinjen Johor bagi tempoh 17 Ogos 2013 hingga 29 April 2014 mencatatkan 16,399 penangkapan daripada 835,754 orang yang diperiksa.

Bagi tempoh sama juga sebanyak 6,028 orang dihadapkan ke mahkamah, katanya.

Mengenai IPD Batu Pahat yang baharu itu, beliau berkata kompleks merangkumi bangunan pejabat setinggi empat tingkat, rumah kediaman anggota setinggi 10 tingkat dan pelbagai kemudahan lain di atas tanah seluas 2.72 hektar.

IPD itu diduduki pada 2011 dan mempunyai kekuatan 541 anggota serta pegawai.