KUALA LUMPUR: Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) tidak seharusnya menggunakan acuan mana-mana negara sebagai piawaian.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, maka kita terikat daripada membincangkan isu-isu sensitif secara terbuka kerana ia boleh menggugat keharmonian.

"Kita tidak boleh menggunakan acuan sesebuah negara untuk dijadikan sebagai piawaian kepada kita, ia harus disesuaikan dengan keadaan sensitiviti masyarakat di Malaysia yang bukan sahaja terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama tetapi juga kita ada raja-raja.

"Pada hemat saya ia harus disantuni oleh masyarakat Malaysia daripada apa bangsa sekalipun," katanya kepada pemberita selepas majlis merasmikan Kompleks Rumah GAPENA dan Majlis Aidilfitri bersama-sama penulis di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Malaysia di tempat ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh RSF berbanding tangga ke-73 tahun lalu.

Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas oleh Thailand yang berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid meminta Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melihat perkara itu agar soal kebebasan media dapat ditingkatkan semula dengan memberi tumpuan kepada kawalan kendiri.