Indeks Pelopor Malaysia turun 0.5 peratus pada Ogos 2025 - DOSM

DOSM berkata trend arah aliran jangka panjang terlicin IP pada Ogos 2025 kekal berada di bawah100.0 mata, menggambarkan ekonomi Malaysia kekal menyederhana. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Indeks Pelopor Malaysia (IP) mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 113.7 mata pada Ogos 2025 daripada 114.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan FerusLain (-26.9 peratus), sejajar dengan kelembapan permintaan global.
"Pada asas bulanan, IP mencatatkan penurunan 0.8 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam Import Benar Semikonduktor (-0.7 peratus), selaras dengan sentimen perdagangan global yang berhati-hati," katanya.
DOSM berkata trend arah aliran jangka panjang terlicin IP pada Ogos 2025 kekal berada di bawah100.0 mata, menggambarkan ekonomi Malaysia kekal menyederhana.
Jelasnya, ia dipengaruhi oleh landskap domestik yang stabil sebagai penggerak pertumbuhan dan kepelbagaian industri yang membolehkan kestabilan ekonomi walaupun berdepan cabaran global.
Sementara itu, menurut DOSM, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa,mengekalkan momentum positifnya dengan peningkatan tahunan sebanyak2.1 peratus kepada 128.9 mata pada Ogos 2025 daripada 126.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh peningkatan dalam Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)sebanyak 9.6 peratus, selaras dengan aliran peningkatan pasaran buruh susulanaktiviti ekonomi domestik yang kukuh," katanya.
Bagaimanapun, kata DOSM, prestasi bulanan ISmenunjukkan sedikit penyederhanaan dengan penurunan sebanyak 0.6 peratus,berikutan kelembapan dalam beberapa komponen, khususnya Penggunaan Kapasiti dalam Pembuatan (-0.3 peratus).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


