Skip to main content

Dunia

Iran dakwa AS cuba capai matlamat perang menerusi pelan 15 perkara

KONFLIK ASIA BARAT
AS "secara terbuka menyeru kepada rundingan, namun dalam masa yang sama merancang serangan darat secara rahsia."

ISTANBUL: Speaker Parlimen Iran pada Ahad mendakwa Amerika Syarikat (AS) cuba melaksanakan pelan 15 perkara bagi mencapai matlamat perangnya selepas gagal berbuat demikian melalui kekuatan tentera, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang serangan darat ke atas negara itu akan berhadapan dengan tindak balas yang "tegas".

Advertisement

Menerusi hantaran di Telegram, Mohammad Bagher Qalibaf mendakwa AS "secara terbuka menyeru kepada rundingan, namun dalam masa yang sama merancang serangan darat secara rahsia."

Beliau menegaskan bahawa rakyat Iran bersedia menghadapi sebarang operasi darat oleh tentera AS dan berjanji akan memberikan "tindak balas yang tegas" terhadap sebarang serangan sedemikian.

"Kini, pelbagai kenyataan didengari daripada pegawai musuh mengenai rundingan. Amerika menyuarakan keinginan mereka dan mengisytiharkan apa yang gagal dicapai dalam peperangan melalui senarai 15 perkara dan cuba menuntutnya menerusi diplomasi."

Pada Rabu, Iran menolak pelan 15 perkara AS untuk menamatkan perang dan menyatakan bahawa sebarang gencatan senjata hanya akan berlaku mengikut syarat dan garis masa yang ditetapkan oleh Tehran.

Televisyen negara yang memetik seorang pegawai Iran melaporkan bahawa Tehran telah menggariskan lima syarat untuk menamatkan peperangan, termasuk penghentian sepenuhnya "pencerobohan dan pembunuhan terancang."

Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah laporan mengenai rancangan AS untuk melancarkan serangan darat ke atas Iran ketika beribu-ribu tentera AS dikerahkan ke Asia Barat, sementara menunggu keputusan Presiden Donald Trump.

AS dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur selain menjejaskan pasaran global serta penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video