Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia jatuh ke tangga 57

Harits Asyraf Hasnan
Januari 28, 2021 05:10 MYT
Malaysia mencatatkan skor sebanyak 51 daripada 100 peratus berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya. - Foto TI-M
KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.
Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100, berbanding 53, pada tahun sebelumnya.
"Antara perkara yang mempengaruhi skor ini adalah kegagalan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik, serta beberapa pendakwaan rasuah yang digugurkan seperti melibatkan Riza Aziz, Datuk Seri Musa Aman dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Pada masa sama, faktor akses yang terhad kepada informasi yang melibatkan kepentingan rakyat. Ia termasuk nilai pampasan berkait Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan pampasan kepada Goldman Sachs mengenai kes 1MDB yang masih belum diketahui," ujarnya.
VIDEO: Rasuah | Jangkaan indeks persepsi rasuah 2020
BACA: Pengendalian wang berskala besar perlu diasingkan daripada kuasa politik - Akhbar Satar
Mengulas berkenaan skor tahun ini di peringkat antarabangsa, katanya, COVID-19 turut membawa pelbagai isu berkait rasuah.
"Pandemik COVID-19 bukan hanya krisis kesihatan, tetapi juga krisis kepada permasalahan rasuah.
"Pakej rangsangan tidak sampai kepada kumpulan sasar, sekali gus membuka ruang kepada berlakunya rasuah," katanya.
Keputusan tinjauan yang dilakukan setiap tahun itu diumumkan beliau secara maya hari ini.
Singapura menjadi satu-satunya negara di Asia yang berjaya berada di kedudukan ke-10 terbaik dunia.
#Transparency International Malaysia #Indeks Persepsi Rasuah #CPI #Rasuah #perangi rasuah #indeks rasuah #Tengku Adnan Tengku Mansor #pandemik #COVID-19 #undang-undang #kesihatan #politik #1MDB #Musa Aman #Muhammad Mohan #HSR #akses terhad