Tiada mana-mana keluarga lain yang seharusnya mengharungi pengalaman apa saya dan anak-anak saya lalui.

Ini luahan rasa M. Indira Gandhi yang gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini yang memutuskan perakuan pengislaman terhadap tiga orang anaknya, Tevi Darsiny,16, Karan Dinish, 15 dan Prasana Diksa, 5, adalah batal dan tidak sah.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Inilah saat yang kami nantikan lebih lima tahun,” kata Indira kepada Astro AWANI.

Indira berkata pada semuanya bermula selepas bekas suaminya, Mohd Ridzuan Abdullah, membuat pertukaran agama daripada Hindu kepada Islam bagi ketiga-tiga anaknya pada April 2009 tanpa pengetahuan Indira.

Mohd Ridzuan, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan, turut memperolehi sijil pertukaran itu daripada Jabatan Agama Islam Perak sebagai bukti.

“Kami berjaya meneruskan kehidupan walaupun sukar. Anak-anak saya dan saya mengamalkan agama Hindu. Walaupun kes mahkamah ini melibatkan bapa mereka, anak perempuan sulung saya masih mampu untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam PMR,” katanya kepada Astro Awani.

“Kami telah meneruskan kehidupan tanpa bapa mereka. Saya telahpun bercerai dengan bapa mereka tahun lepas,” katanya.

Hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng memutuskan pertukaran agama yang dibuat Mohd Ridzuan adalah tidak mengikut peraturan.

Peguam Indira K. Shanmuga berkata keputusan ini sangat unik kerana ini adalah kali pertama di negara pertukaran agama oleh kanak-kanak dibatalkan.

“Pesuruhjaya Kehakiman memutuskan kanak-kanak tersebut harus hadir ke Jabatan Agama Islam dan melafazkan dua kalimah Syahadah. Kedua-dua ibu bapa mereka juga harus bersetuju dengan penukaran agama itu,” katanya kepada Astro Awani.

Pada 25 Okt 2009, Indira Ghandi, 38, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam tiga anaknya.

Wanita itu kemudian membuat permohonan kepada mahkamah sama supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan berkaitan perundangan bagi kes ibu bapa dan anak-anak yang terbabit dalam perkahwinan didaftarkan mengikut Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Cerai) 1976.

Ia termasuk persoalan sama ada ibu atau bapa secara sebelah pihak boleh menukar agama anak mereka yang masih di bawah umur kepada Islam selepas perkahwinan tanpa mendapat persetujuan sebelah pihak lain dan keputusan mana terpakai jika berlaku pertentangan perintah yang dikeluarkan antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah.

Kes pasangan berkenaan pernah mendapat perhatian umum hingga ke Kabinet pada April 2009 yang memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agama.

Keputusan itu bagi mengelak individu yang tidak bersalah, terutama anak-anak, menjadi mangsa dan dilayan secara tidak adil.

Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga beradik itu kepada Mohd Ridzuan, tetapi 11 Mac 2010, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim, memutuskan hak penjagaan tiga beradik itu diserahkan kepada bekas isterinya iaitu Indira Ghandi.