KUCHING: Industri lada negara menunjukkan perkembangan positif apabila menyumbang sekitar RM2.27 bilion tahun lepas, berbanding RM2.24 bilion pada 2024, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau berkata sehingga akhir 2025, keluasan penanaman lada di Malaysia dianggarkan kira-kira 8,200 hektar, dengan majoriti pengeluaran tertumpu di Sarawak.
Advertisement
“Industri ini turut disokong oleh kira-kira 39,000 pekebun, sekali gus memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi komuniti luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan Lawatan Kerja Industri Lada ke Lembaga Lada Malaysia (MPB) di sini, hari ini.
Noraini berkata dari segi eksport, Malaysia mencatatkan eksport komoditi lada sebanyak 4,344 tan metrik dengan nilai sekitar RM179.78 juta pada tahun lepas, mencerminkan permintaan berterusan terhadap lada berkualiti tinggi dari Malaysia di pasaran global.
Beliau berkata pemain industri lada perlu terus memperkasakan pendekatan berasaskan inovasi dan rantaian nilai, termasuk pembangunan produk hiliran serta penjenamaan yang lebih strategik bagi meningkatkan daya tahan industri.
“Dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim, ketidaktentuan harga dan tuntutan kualiti yang tinggi, teknologi bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan bagi memastikan industri lada kekal mampan dan berdaya saing.
“Oleh itu, kerajaan akan terus komited untuk memastikan sektor lada terus diperkembang sebagai subsektor agrikomoditi bernilai tinggi melalui peningkatan produktiviti, pemerkasaan teknologi serta pengukuhan akses pasaran antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA