PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyuarakan keyakinan tinggi terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Menteri Persekutuan itu berkata, pengiktirafan terbuka berhubung perkara itu yang dinyatakan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan perkembangan penting yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran terdahulu.
Advertisement
“Perdana Menteri sendiri menyebut secara terbuka dan rasmi di Parlimen pada 12 Nov 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Sabah sebagaimana terkandung dalam Perkara 112 (C) dan Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.
“Pendirian ini tidak pernah dibuat Kerajaan Persekutuan sebelum ini. Malah pernah dijawab di Parlimen oleh pentadbiran lalu bahawa hak 40 peratus itu sudah terhenti berkuat kuasa,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat status projek infrastruktur utama Parlimen Papar di Pejabat Daerah Papar, di sini, pada Isnin.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata, pengiktirafan itu menjadi asas kukuh kepada rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, dengan sasaran peningkatan pemberian khas kepada Sabah sehingga sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun.
Sementara itu, Armizan menegaskan, Kerajaan Negeri Sabah kekal konsisten dalam memperjuangkan hak berkenaan melalui pelbagai saluran termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas kenyataan ADUN Kapayan, Chin Tek Ming yang tidak berpuas hati berhubung penolakan usul persendirian berhubung isu tersebut pada sidang DUN Sabah baru-baru ini, Armizan berkata, penolakan itu dibuat atas kuasa dan keputusan Speaker, bukan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.
Armizan berkata, penolakan usul oleh ADUN Kapayan yang beliau sifatkan bermotifkan politik itu, tidak seharusnya disalah tafsir sebagai penolakan terhadap perjuangan menuntut 40 peratus.
“Penolakan usul persendirian di DUN bukan bermakna Dewan apatah lagi Kerajaan Negeri menolak perjuangan 40 peratus, persepsi ini perlu dibetulkan,” katanya.
Beliau berkata, dalam sidang DUN terkini, kerajaan negeri turut memperincikan perkembangan rundingan termasuk pendekatan berdasarkan data pungutan cukai bagi menentukan kadar pemberian khas.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor akan terus memperjuangkan tuntutan berkenaan demi kepentingan rakyat Sabah.
-- BERNAMA