KUALA LUMPUR: Pemain industri pelancongan negara perlu fokus ke arah memperkasa perniagaan digital untuk membina semula industri berkenaan yang telah lama terhenti susulan pandemik COVID-19, kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun.

Justeru beliau menyarankan pihak terlibat mengikuti arus perkembangan semasa yang semakin bergantung kepada maklumat, pendigitalan, akses internet, pembayaran tanpa tunai dan membuat pakej-pakej pelancongan dalam negara, selain tidak boleh lagi bergantung kepada perniagaan konvensional.

Menurutnya pada masa sama ekonomi global sedang giat mengalami transformasi melalui pencapaian baharu teknologi merentasi alam fizikal ke digital dan ia berkembang pesat hasil keterbukaan serta kesalinghubungan dunia.

"Jika kita tidak beralih kepada perniagaan secara digital, maka kita akan terus ketinggalan jauh ke belakang dan perniagaan kita tidak akan setanding dengan syarikat-syarikat antarabangsa yang bersaing di alam digital," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata teknologi digital sedang diterima pakai dalam semua bidang termasuk sektor pelancongan yang melibatkan ekonomi, kebudayaan dan sosial dengan mengetengahkan konsep, format serta model baharu pasca COVID-19 yang memberi impak dan kesan besar kepada kehidupan manusia.

Mohd Khalid berkata banyak pameran dan persidangan antarabangsa serta domestik beralih ke era digital dengan tiada lagi yang diadakan secara fizikal melibatkan perhimpunan beramai-ramai dan bersentuhan yang boleh menyebabkan penularan wabak itu.

-- BERNAMA