PUTRAJAYA: Nilai ditambah kasar industri pelancongan (NDKIP) Sabah pada 2022 mencatatkan RM13 bilion, menyumbang sebanyak 10.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah, menurut Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah terbitan Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata NDKIP Sabah menyumbang 5.2 peratus kepada NDKIP Malaysia dan 0.7 peratus kepada KDNK Malaysia manakala KDNK Pelancongan Langsung (KDNKPL) merekodkan RM3.2 bilion dengan sumbangan 2.6 peratus kepada KDNK Sabah.

"Pembukaan semula pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan Sabah.

"Pada 2022, jumlah ketibaan pelawat ke Sabah mencecah 1.73 juta orang, meningkat 365.5 peratus berbanding hanya 0.4 juta orang yang direkodkan pada tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata prestasi industri pelancongan Sabah pada tahun lepas turut didorong oleh usaha kerajaan negeri antaranya meneruskan perkhidmatan penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) seperti dari Singapura, Korea Selatan dan Thailand selain penerbangan domestik dari Terengganu.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pelawat dari Semenanjung Malaysia merupakan penyumbang utama perbelanjaan pelancongan 'inbound' di Sabah, iaitu sebanyak 63.7 peratus (RM 1.7 bilion) daripada keseluruhan RM2.7 bilion pada 2022.

"Pelawat dari luar negara dan Sarawak pula masing-masing menyumbang 23 peratus (RM0.6 bilion)dan 13.2 peratus (RM0.4 bilion) pada tempoh sama," katanya.

Prestasi industri pelancongan Sabah juga dipacu oleh perbelanjaan pelancongan oleh residen Sabah dengan merekodkan RM3.5 bilion.

Beliau berkata industri berkenaan turut merekodkan penglibatan 427,000 orang bekerja pada 2022, menyumbang sebanyak 22.8 peratus kepada jumlah keseluruhan guna tenaga di Sabah.

Mohd Uzir turut menjangkakan ketibaan pelancong ke negeri itu akan terus meningkat tahun ini dengan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi merancakkan industri pelancongan antaranya 'Community-Based Tourism Roadshow'.

Setakat Oktober 2023, jumlah ketibaan pelawat ke Sabah adalah seramai 2.11 juta orang, meningkat 56.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022 (1.36 juta).

-- BERNAMA