KUALA LUMPUR:Industri sawit diunjur berdepan kerugian sekitar RM15 bilion tahun ini walaupun harga komoditi itu sedang melonjak naik.

Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab berkata ia dijangka berlaku susulan ketiadaan tenaga buruh di sektor tersebut.

"Kekurangan pekerja industri sawit ini sangat ketara. Saya percaya, kita tidak dapat mencapai potensi produksi antara 20 hingga 30 peratus.

"Jadi bermakna, kita tidak dapat memanfaatkan harga kelapa sawit yang baik waktu ini.

"Jadi, inilah masalah paling ketara yang dialami sektor industri kelapa sawit di negara ini," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.

Tambahnya, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri tersebut telah mengalami kekurangan hampir 36,000 pekerja.

Beliau akui situasi bertambah kritikal apabila sempadan ditutup sekaligus ramai penggiat industri tidak dapat mengambil pekerja asing sedangkan jumlah mereka yang pulang ke negara asal jauh lebih ramai.

"Kebergantungan kepada pekerja asing ini amat ketara terutama di kalangan pekebun kecil yang bergantung terus dengan pekerja asing.

"Jadi, kalau kita tidak bawa masuk dan kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja asing sehingga bulan 12, saya tak tahu berapa banyak lagi kerugian yang akan dialami oleh sektor kelapa sawit ini.

"Saya jangka, jika masalah ini tidak diatasi, pendapatan kelapa sawit boleh berkurangan sebanyak RM15 bilion," katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mempertimbang memberi permit kerja sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri kelapa sawit dan getah.

Katanya, kerajaan berusaha mencari jalan mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri berkenaan terutama selepas pintu sempadan negara ditutup dalam usaha mengawal penularan COVID-19.