KUALA LUMPUR: Isu pekerjaan dan pendapatan dilihat masih menjadi kebimbangan utama golongan belia ketika negara berdepan kenaikan inflasi.

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Fauzi Fadzil berkata, isu ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan bantuan subsidi atau pembentukan polisi tertentu semata-mata.

"Apa sahaja polisi, ia tidak akan mengubah apa-apa jika pendapatan rakyat kekal di tahap yang sama. Kerana itu saya melihat kerajaan perlu berusaha lebih keras tarik pelaburan asing ke Malaysia supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta.

"Pasca pandemik, dianggarkan lebih 2.7 juta belia bekerja sendiri sama ada dengan menjalankan perniagaan atau menceburi bidang e-hailing.

"Saya tidak bermaksud untuk mengatakan tidak bagus anak muda menjalankan perniagaan sendiri tetapi mereka ini kebanyakannya terlatih dalam bidang tertentu, seperti kejuruteraan, seni bina dan sebagainya.

"Seharusnya kemahiran ini disalurkan ke tempat yang betul.

"Jadi penting untuk belia ada peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Jumaat.

Tambah Fauzi, apa yang boleh diusahakan kerajaan ketika ini ialah menjalinkan hubungan dengan rakan strategik di luar negara bagi membantu menangani permintaan bekalan makanan yang tinggi.

"Subsidi dan baucer takkan dapat menampung permintaan terhadap barang keperluan seperti ayam yang semakin meningkat.

"Sudah agak terlambat kalau kita nak cadangkan perbanyakkan ladang ternakan ayam atau penanaman kelapa sawit, jadi apa yang boleh dilakukan ialah rakan strategik di luar negara.

"Indonesia dan Thailand sebagai contoh, kita kena buat kawan. Tak mungkin kita boleh atasi isu bekalan makanan dan kenaikan harga dengan sendirinya," jelasnya.

Bantuan | Bagaimana mahu bantu rakyat ketika inflasi?