Seingat saya, sepanjang bertugas dalam arena media dan pemberitaan, Palestin dan isu berkaitan dengannya paling banyak saya tulis. Bukan dua atau tiga artikel, barangkali lebih daripada sepuluh.

Banyaknya tulisan mengenai isu Palestin yang saya rakam itu melebihi kajian yang sedang saya tekuni - etnik dan minoriti di Asia Tenggara dengan pengkhususan Myanmar.

Kebanyakan yang saya tulis tentang Palestin dan isu yang membelenggunya itu digerakkan oleh peristiwa atau komen-komen tertentu di Asia Barat. Namun, apa yang berlaku, walaupun jauh beratus-ratus ribu kilometer jaraknya, tetap dekat di hati warga Malaysia.

Ambil contoh, komitmen damai di Asia Barat serta keganasan berterusan rejim Zionis ke atas Palestin. Isu di wilayah rantau Asia Barat yang satu ini jarang terlepas daripada radar perhatian masyarakat di Malaysia.

Namun, tanpa peristiwa-peristiwa tertentu sekali pun, saya masih menulis tentang Masjid Al-Aqsa dan nasib Baitulmaqdis. Apabila ia diceroboh beberapa kali sebelum ini, kecaman bukan kecil segera dihantar ke atas Zionis. Majoriti mengutuk dengan segala macam kecaman, tetapi tidak cukup kuat meroboh dinding ego Zionis untuk mengasihani Palestin.

Ingatan terhadap Al-Aqsa dan Baitulmaqdis boleh dikatakan datang dan pergi, tenggelam dan timbul. Tetapi, untungnya saya, sumber untuk menulis tentangnya tidak pernah surut. “Usah sesekali lupa untuk mengingatkan tentang Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis. Ia bukan isu Palestin, tetapi menggambarkan akidah umat Islam,’’ pesan Dr Maszlee Malik, Pensyarah Kanan Ulumul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semasa menyerahkan buku tulisannya “ Al-Aqsa Dalam Bahaya” sebelum ini.


“Al-Aqsa Dalam Bahaya” antara lain merupakan himpunan tulisan Dr Maszlee sendiri untuk menyedarkan umat Islam supaya jangan meminggirkan nasib yang menimpa masjid suci itu. Kepada Dr Maszlee, sesuatu perlu dilakukan umat Islam, secara berpanjangan agar Masjid Al-Aqsa, kini dijajah Zionis dapat dikembalikan kepada Islam.

Dalam pada itu, warga Palestin, yang juga pakar tamadun dan budaya Islam, Profesor Dr Mohsen Salleh, dahulunya tenaga pengajar di UIAM turut kerap kali menitipkan pesanan di hujung emel beliau kepada saya supaya jangan rehat menulis mengenai Al-Aqsa dan Baitulmaqdis. Katanya, umat Islam silap kalau hanya bersimpati tentang apa yang berlaku di Baitulmaqdis dan Al-Aqsa.

Ia bukan konflik Arab Israel seperti mana penindasan ke atas penduduk Palestin dahulu dan kini, malah lebih nestapa daripada itu. Maka, ujar beliau, mengenepikan perhatian tentang sebarang isu di Al-Aqsa juga Baitulmaqdis sama seperti menghiris luka umat Islam.

Nah, tulisan ini adalah cerminan ingatan mapan tentang isu Al-Aqsa dan Baitulmaqdis. Kenapa perlu ingatan bertalu-talu tentang isu ini? Pertama, Al-Aqsa ialah masjid ketiga paling mulia di hati umat Islam.

Ia kiblat pertama sebelum umat Islam seluruh dunia mengadap kepada Kaabah di Masjidil Haram. Lebih daripada itu, peristiwa Israk dan Mikraj membabitkan Nabi Muhammad diangkat ke langit berlaku di masjid yang letaknya di Baitulmaqdis ini.

Namun, ketika ini, Zionis sedang berusaha untuk menguasai penuh Masjid Al-Aqsa. Jangan dilupakan, masjid ini pernah dibakar pada 1969 - membawa pula kepada pertubuhan OIC untuk tangani kelukaan umat Islam. Ia juga dikorek bagi membina Museum of Tolerance bernilai berjuta-juta dolar walaupun mendapat bantahan meluas umat Islam.

Masjid Al-Aqsa turut pernah dicemari semasa lawatan bekas Perdana Menteri Ariel Sharon, memasuki perkarangan masjid dengan memakai kasut. Dengan kata lain, masjid itu kini diambang bahaya yang cukup getir. Apa yang lebih luka daripada mendapat khabar tentang perkara-perkara ini semua?

Realitinya, isu Al-Aqsa ialah isu umat Islam. Kita usah berpura-pura, tetapi jujur sahaja. Kita tersentuh mendengar cerita Al-Aqsa dibakar, dicemari lawatan Sharon atau ia mahu dijadikan kawasan pelancongan Israel sebagaimana dilaporkan. Tetapi percayakah kita Al-Aqsa dalam bahaya? Atau, jika kita percaya atau tersentuh, jujur sahaja, kita hanya termenung seketika sahaja. Keinsafan mengenai nasib Al-Aqsa tumpul semula selepas menung sebentar itu.

Kita barangkali mudah lupa, isu ini isu yang harus diperjuangkan sampai Al-Aqsa bebas dan tidak dijajah lagi. Kedudukannya bukan di tempat isu yang datang dan pergi. Mudah kata, kita tidak sewajarnya lupa akan isu ini hanya kerana ingin ambil peduli cerita-cerita remeh seantero dunia.

Lalu, kalau begitu, bagaimana seharusnya kita menerima hal berhubung bahaya menimpa Al-Aqsa ini? Itu sebabnya, tulisan ini disiarkan, setidak-tidaknya ia ingatan supaya jangan berhenti mengangkat isu ini.