PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang berlanjutan hampir dua bulan tentunya menimbulkan kerisauan orang ramai ekoran ketidaktentuan rutin harian masyarakat yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Malah pelaksanaan PKP tentunya tidak mudah kepada keluarga yang mempunyai banyak tanggungan dan sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian.

Walaupun dari sudut positif tempoh pandemik ini seolah-olah 'memulangkan' kehidupan berkeluarga kebanyakan rakyat Malaysia yang sebelum ini sibuk dengan tugasan masing-masing, namun ada di antara kita yang terpaksa mengharungi detik sukar ekoran tiada perancangan awal.

Berikut adalah apa yang anda perlu lakukan untuk menangani panik berlaku dalam krisis yang dihadapi saat ini:


1. Tabung kecemasan

Sediakan tabung kecemasan untuk sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan.

Cara membina tabung kecemasan ini sebenarnya tidak susah. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah menanam sifat disiplin yang tinggi.

Wajibkan diri anda untuk menyimpan lima hingga 10 peratus daripada pendapatan anda pada setiap bulan.


2. Belajar kemahiran baharu dan berfikiran kreatif

Kemahiran baharu seperti menjahit, masak, solekan dan kelas yoga boleh menjana pendapatan terutamanya pada waktu kecemasan.

Dengan pendekatan kreatif anda juga boleh memasarkan produk-produk itu secara dalam talian.

Misalnya anda boleh mengajar kelas yoga atau solekan secara dalam talian.


3. Belajar menggunakan peranti elektronik

Ia adalah bagi mengelakkan anda daripada terkandas dalam teknologi ketika waktu kecemasan seperti PKP.

Anda tidak perlu menjadi celik IT, cukup sekadar menguasai teknologi termasuk melakukan transaksi dan pembelian secara dalam talian.

Siapa sangka, dunia pendidikan di Malaysia juga berubah sekelip mata kepada pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.


4. Belajar memasak

Anda tidak perlu menjadi 'level' chef, cukup sekadar belajar memasak untuk diri sendiri dan keluarga.

Dengan ini anda bukan sahaja mengoptimumkan masa secara manfaat di rumah malah tidak perlu membazir wang untuk membeli makanan di luar.


5. Sediakan bekalan makanan yang secukupnya

Dalam keadaan kecemasan, anda haruslah sentiasa bersedia dengan bekalan makanan yang boleh disimpan sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan.

Antaranya beras, telur, mi segera, minyak, serbuk kari, dan makanan dalam tin seperti sardin.