KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berpendapat situasi semasa COVID-19 dalam negara di luar  kawalan.

Menerusi satu surat terbuka yang dilaporkan dalam portal akhbar The Star, beliau berkata sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah berlainan, negara mungkin berdepan kemungkinan yang lebih buruk.

Katanya, ramai yang meminta beliau untuk menyuarakan pandangan memandangkan beliau berjaya mengendali wabak berbahaya sebelum ini seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS).

Ujarnya, SARS tidak mencapai pada tahap pandemik dan dikawal dalam masa beberapa bulan.

Namun, sistem kesihatan ketika ini pada tahap hampir lumpuh dengan jumlah katil ICU dan bekalan oksigen yang terhad serta kelesuan dalam kalangan petugas kesihatan.

BACA: PKP di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun

BACA: PKP seluruh negara: Ini 11 perkara penting yang anda perlu tahu

Justeru itu, beberapa cadangan dikemukakan beliau;

1) Hanya satu jurucakap. Terlalu ramai yang mengeluarkan kenyataan. Ketika ini ramai menteri yang mengeluarkan kenyataan berlainan dan ia mengelirukan rakyat.

Beliau berpendapat, hanya Ketua Pengarah Kesihatan yang patut menjadi jurucakap tunggal dan diberikan kuasa untuk menasihati kerajaan terutamanya dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Jelasnya, Ketua Pengarah Kesihatan ketika ini perlu lebih terbuka untuk mendapatkan pandangan dari pihak berkepentingan yang lain.

2) Laksanakan keputusan yang tegas. Kuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan tidak mengambil langkah mudah seperti PKPB, PKPD dan PKPP di negeri-negeri dan daerah lain.

Tiada pergerakan rentas negeri yang dibenarkan dan tiada tetamu yang dibenarkan semasa sambutan Raya. Tiada pengecualian. Ini kerana sebelum ini ada banyak kes yang direkodkan tanpa simptom yang mudah menjangkiti warga emas ketika bersalam semasa Raya dan boleh mencetuskan kluster baharu.

3) Sektor ekonomi sepatutnya dibenarkan beroperasi dengan SOP yang lebih ketat. Kenakan kompaun sekiranya ingkar.

4) Rakyat perlu patuh kepada SOP dan tidak leka seperti yang berlaku ketika ini. Mereka perlu tahu apa yang harus dilakukan dan mengapa ia dilakukan.

Mereka perlu pelajari dan sentiasa berwaspada tentang bahaya penularan dan akibatnya serta tidak hanya berharap kepada kerajaan untuk memantau keadaan semasa.

5) Tidak boleh ada 'double standards' kerana penularan virus itu tidak akan membezakan antara ahli politik, VIP atau orang biasa.

Juga, rakyat sedang memerhati dan jika pengecualian diberikan kepada seseorang, rakyat akan mempersoalkan tindakan tersebut.

6) Program vaksinasi perlu berjalan lebih cepat dan diselaraskan dengan baik.

Jelasnya lagi, ini juga bermakna pimpinan yang tegas diperlukan dalam memastikan keputusan tepat dilakukan.