Ini proses pemilihan oleh ahli Dewan Rakyat yang akan berlaku 2 Mac ini

Nursyazwani Saiful Sham
Februari 27, 2020 15:32 MYT
Langkah seterusnya yang dijelaskan oleh Tun Mahathir adalah perkara itu akan dibawa dalam sidang Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 2 Mac ini bagi memperolehi sokongan majoriti. Foto: ASTRO AWANI/ Shahir Omar
Dalam kemelut politik yang masih belum reda ketika ini, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tiada majoriti untuk membentuk sebuah kerajaan.
Katanya, walaupun selepas sesi temu bual bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diadakan selama dua hari, masih tiada calon pilihan majoriti yang mampu diangkat sebagai Perdana Menteri seterusnya.
Langkah seterusnya yang dijelaskan oleh Dr Mahathir adalah perkara itu akan dibawa dalam sidang Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 2 Mac ini bagi memperolehi sokongan majoriti.
Jadi, apa yang akan berlaku 2 Mac ini?
Proses pemilihan oleh ahli Dewan Rakyat
Menurut pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, jika langkah seterusnya ini diteruskan, proses pemilihan akan melalui proses biasa seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 14 iaitu Aturan Urusan Mesyuarat.
“Terdapat beberapa bahagian dalam peraturan mesyuarat dewan dan mengikut peraturan proses pengundian yang mungkin akan berlaku secara terbuka.
“Ini bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat dapat menyuarakan ya atau tidak secara terbuka dalam memilih calon Perdana Menteri.
“Atau ia juga berkemungkinan akan berlaku secara rahsia iaitu melalui pemilihan bersurat,” jelasnya.
Pemilihan oleh Yang di-Pertuan Agong masih relevan
Pasti ada yang tertanya-tanya, adakah temubual 221 ahli parlimen bersama Al-Sultan Abdullah tidak relevan sehingga perlu melakukan proses pemilihan melalui Dewan Rakyat.
Menurut Prof Shamrahayu, proses tambahan di Dewan Rakyat ini adalah berkemungkinan untuk mengukuhkan lagi pilihan Yang di-Pertuan Agong.
“Mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen, yang baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.
“Namun, jika pemilihan menerusi Dewan Rakyat ini diadakan, temubual dan akuan oleh ahli parlimen bersama Al-Sultan Abdullah masih relevan. Proses ini dijangka adalah untuk menambahkan keyakinan agar baginda yakin untuk memilih calon Perdana Menteri seterusnya dengan keyakinan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Bagaimanapun, pihak Istana Negara masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi dan penjelasan tentang proses ini,” jelasnya.
Kuasa budi bicara
Aspek budi bicara amat penting untuk kita menghargai dan mengangkat martabat keluhuran perlembagaan.
Justeru jelas Prof Shamrahayu, Perkara 38 (6) (b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Anggota-anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding termasuk memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan.
“Ia amat jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai discretionary power (kuasa budi bicara) untuk melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang
pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” ujarnya.
BACA: Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong tentukan kedudukan kerajaan
#Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Dewan Rakyat #Perdana Menteri Interim #Tun Dr Mahathir Mohamad #Yang di-Pertuan Agong