Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan kepada penganut bukan Islam untuk tidak membantah pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 kerana ia tidak menyentuh hak penganut selain Islam.

Malah, beliau berharap pindaan itu akan dipersetujui Ahli Parlimen terutama yang beragama Islam sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa Mahkamah Syariah hanya menyentuh orang Islam sahaja.

"(Namun) Kita mesti ada Mahkamah Syariah yang tinggi tarafnya. Atas kewajipan ini kita perlu tunaikan tanggungjawab (dalam melakukan pindaan itu)," katanya.

Menurut Abdul Hadi, kegagalan sistem undang-undang yang dicipta manusia menjadi antara punca kepada berlakunya kejadian jenayah.

Pada masa sama, beliau mahu umat Islam untuk terus beristiqamah dan menghormati penganut agama lain, dalam memperjuangkan syiar Islam.

Himpunan 355 adalah bagi memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap akta berkenaan.

Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan usaha mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam.

Pada 24 November tahun lepas, Abdul Hadi membawa usul Rang Undang-undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Antara yang hadir dan berucap pada himpunan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, wakil-wakil persatuan bukan Islam dan tokoh-tokoh pendakwah.